462,335 individu lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19
KUALA LUMPUR - Seramai 462,335 individu telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan setakat Selasa.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, bagi tempoh sama, seramai 748,444 individu telah menerima dos pertama menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 di negara ini kini berjumlah 1,210,779 dos.
Menerusi satu infografik yang dikongsikan di laman Twitter rasminya pada Rabu, Dr Adham berkata, lima negeri melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin Covid-19 tertinggi ialah Selangor dengan 65,961 individu, diikuti Perak (48,942), Kuala Lumpur (42,638), Sabah (43,741) dan Sarawak (38,864).
Lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 104,338 individu, diikuti Kuala Lumpur (82,907), Johor (71,877), Sarawak (70,887) dan Perak (61,804).
Mengenai jumlah individu yang mendaftar untuk program imunisasi itu, Dr Adham berkata, setakat Selasa, seramai 9,100,472 atau 37.50 peratus daripada yang disasarkan telah mendaftar dengan Selangor kekal mencatatkan angka tertinggi sebanyak 2,385,020 pendaftaran.
Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga bulan ini melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.
Fasa kedua yang bermula April hingga Ogos tahun ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya (OKU), manakala fasa ketiga dijadual bermula Mei hingga Februari 2022 melibatkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!