Penolong pegawai farmasi rugi lebih RM21,000 ditipu Macau Scam

Penolong pegawai farmasi kerugian RM21,250.50 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai LHDN dan PDRM. - Gambar hiasan
Penolong pegawai farmasi kerugian RM21,250.50 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai LHDN dan PDRM. - Gambar hiasan
A
A
A

JEMPOL - Seorang penolong pegawai farmasi kerugian RM21,250.50 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kejadian bermula apabila mangsa seorang wanita berusia 55 tahun menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai Samsul Zaman daripada LHDN, Isnin lepas.

"Lelaki tersebut mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM38,600.90 atas nama syarikat Anco Marketing & Trading.

"Bagaimanapun mangsa menafikan mempunyai syarikat tersebut sebelum talian disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan bercakap dengan Sarjan Danny.

"Sarjan itu mendakwa akaun bank mangsa akan dibekukan kerana terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Chang Hook berkata, mangsa kemudiannya disambungkan pula kepada individu lain bernama Tuan Rosdi yang memaklumkan penyata bank mangsa ditemui di dalam sebuah rumah penjenayah.

"Mangsa seterusnya bercakap dengan individu lain bergelar Datuk dikenali sebagai Asisten Komisioner Zulkifli bagi mengelakkan hukuman dan waran tangkap dikenakan ke atasnya.

"Datuk berkenaan meminta mangsa memberi nombor bahagian hadapan kad ATM CIMB Bank, Bank Rakyat dan Bank Simpanan Nasional untuk membuat semakan dengan Bank Negara Malaysia bagi memastikan akaun bank mangsa tidak terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram," katanya.

Artikel Berkaitan:

Chang Hook berkata, tidak lama selepas itu, mangsa menerima mesej daripada Bank Rakyat yang memaklumkan dia membuat pemindahan sebanyak RM10,000 dari akaun banknya.

"Hasil semakan ke atas semua akaunnya, mangsa mendapati duit dari akaun bank CIMB dan Bank Rakyat berjumlah RM21,250.50 hilang lalu membuat laporan di Balai Polis Bahau dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.