Jho Low tidak berani perdaya Najib, kata Timbalan Pendakwa Raya

Najib tiba di Mahkamah Rayuan hari ini bagi pendengaran rayuan terhadap sabitan dan hukuman berkaitan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International. - Foto Bernama
Najib tiba di Mahkamah Rayuan hari ini bagi pendengaran rayuan terhadap sabitan dan hukuman berkaitan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low tidak berani memperdayakan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana hubungan baik mereka, Mahkamah Rayuan diberitahu.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Datuk V Sithambaram berkata, adalah sukar untuk mempercayai bahawa Jho Low berada dalam kedudukan bawahan kepada perayu (Najib) mempunyai keberanian untuk mengatur transaksi penipuan, yang secara langsung akan memberi kesan kepada bekas Perdana Menteri itu.

Sithambaram berhujah demikian di hadapan panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dalam prosiding rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana penyalahgunaan dana SRC International sebanyak RM42 juta.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

“Jho Low memainkan peranan penting dalam pengiriman wang berjumlah RM42 juta daripada SRC ke dalam akaun perayu dan tidak akan mempengaruhi pemindahan tanpa pengetahuan perayu,” tambahnya.

Sithambaram menegaskan bahawa hubungan erat antara Jho Low dan Najib disahkan lagi oleh saksi pendakwaan ke-50, bekas Pengarah Urusan Kumpulan AmBank, Cheah Tek Kuang.

Sebenarnya, Jho Low adalah orang yang memperkenalkan Cheah kepada Najib di kediaman peribadi perayu ketika dia ingin membuka akaun AmBank, katanya.

Ketika menyentuh mengenai usaha Jho Low untuk memastikan kecukupan dana dalam akaun Najib, Sithambaram berkata, Najib bahkan telah menjelaskan bahawa Jho Low telah bekerja keras untuk memastikan semua ceknya bukan cek tendang atau dia akan diminta untuk menanyakan status akaunnya, sekali gus mendedahkan transaksi sebenar akaun tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Kini, perayu mendakwa menjadi mangsa manipulasi dengan meraih dana (bukannya kehilangan) melalui tindakan Jho Low.

“Perayu mengatakan bahawa Jho Low telah membuat banyak wang daripada pembabitannya dalam Terengganu Investment Authority Berhad (TIA), 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC.

“Itu sebenarnya sebab Jho Low memastikan dana (dalam akaun) itu ada...supaya hubungannya dengan perayu tidak akan terjejas dan seterusnya menimbulkan curiga perayu,” katanya.

Sithambaram berkata, bukti daripada kebanyakan interaksi menerusi sembang BlackBerry Messenger (BBM) antara saksi pendakwaan ke-54, Pengurus Perhubungan, Joanna Yu Ging Ping dan Jho Low mengesahkan dia berkomunikasi dengan Najib berkaitan baki bank dan pengeluaran cek.

“Jho Low tidak akan mengambil langkah reaksioner untuk memastikan cek perayu tidak ditendang,” tegas Sithambaram.

Tambah Sithambaram, RM42 juta daripada SRC itu dikatakan sebagai umpan untuk meneruskan hubungan antara Jho Low dengan perayu.

Pada 28 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan melibatkan CBT, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana milik SRC International.

Pendengaran rayuan itu bersambung. - Bernama