Penumpang jatuh feri akhirnya ditemui

Mayat lelaki berkenaan dibawa ke Jeti Polis Marin di Batu Uban sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat
Mayat lelaki berkenaan dibawa ke Jeti Polis Marin di Batu Uban sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat
A
A
A

GEORGETOWN - Selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dilaporkan terjatuh daripada sebuah feri dilakukan sejak Jumaat lalu, akhirnya mayat mangsa telah berjaya ditemui pagi tadi.

Mayat lelaki berkenaan ditemui terapung berdekatan dengan Jeti Swettenham Pier di sini kira-kira jam 10.31 pagi oleh pasukan Polis Marin selepas operasi mencari dan menyelamat disambungkan semula sejak jam 7.30 pagi tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, mayat lelaki berkenaan dibawa ke Jeti Polis Marin di Batu Uban sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

"Mayat ditemui dalam keadaan terapung dan berpakaian lengkap dengan memakai baju hitam serta berseluar jeans.

"Pemeriksaan pada mayat mangsa tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri dan kita serahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini tadi.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang penumpang dikhuatiri hilang selepas terjatuh dari feri penumpang, Feri Pulau Undan kira-kira jam 9.20 pagi pada Jumaat lalu.

Mangsa dikatakan terjatuh di 0.8 batu nautika Barat Laut Terminal Feri Butterworth.

Hamizan berkata, dengan penemuan mayat itu operasi mencari dan menyelamat yang dikoordinasikan oleh Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi telah dihentikan pada jam 1 petang tadi.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa berkenaan.

Katanya, orang awam diminta agar melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146.