Chauvin bersalah atas pembunuhan George Floyd

Derek Chauvin bersalah atas pembunuhan George Floyd. - Foto Reuters
Derek Chauvin bersalah atas pembunuhan George Floyd. - Foto Reuters
A
A
A

MINNEAPOLIS - Bekas anggota polis Minneapolis, Derek Chauvin didapati bersalah pada Selasa atas tuduhan menyebabkan kematian George Floyd.

Chauvin, 45, berdepan tuduhan membunuh Floyd, 46, pada 25 Mei 2020, disabitkan kesalahan tahap kedua dan tahap ketiga serta pembunuhan orang dalam penahanan, lapor NBC News.

Perbicaraan yang dianggotai 12 juri pada Isnin itu mendapati Chauvin bertanggungjawab secara jenayah dalam kematian lelaki berkulit hitam itu pada tahun lalu, selepas mempertimbangkan keterangan daripada 45 saksi dalam tempoh tiga minggu termasuk pemerhati, pegawai polis dan pakar perubatan.

Juri mengambil masa lebih 10 jam untuk mencapai sebulat suara.

Dalam rakaman video itu, ia memaparkan Chauvin, anggota polis berkulit putih menekan lututnya ke atas leher Floyd yang sedang bergari selama lebih sembilan minit pada 25 Mei 2020.

Tindakan itu dilakukan selepas dia dan tiga pegawai lain menahan Floyd yang dituduh menggunakan wang kertas AS$20 (RM82.36) palsu untuk membeli rokok di sebuah kedai runcit.

Kematian Floyd membangkitkan kemarahan rakyat Amerika Syarikat (AS), sekali gus menggoncang dunia.

Semasa perbicaraan berlangsung, Mahkamah di Minneapolis dikelilingi pengadang tinggi dan dikawal anggota Pasukan Pengawal Nasional.

Artikel Berkaitan:

Walaupun sistem keadilan jenayah dan juri AS sejak sekian lama memberi kelonggaran dan beberapa perlindungan undang-undang kepada pegawai polis yang menggunakan kekerasan dalam penahanan orang awam, juri dalam kes terbabit mendapati Chauvin sudah melampaui batas dan menggunakan kekuatan secara berlebihan.

Di bawah garis panduan hukuman Minnesota, Chauvin dihukum penjara 12 setengah tahun atas kesalahan membunuh sebagai pesalah jenayah kali pertama.

Bagaimanapun, pendakwa raya boleh memohon hukuman untuk tempoh lebih panjang sehingga maksimum 40 tahun jika Hakim Daerah Hennepin, Peter Cahill yang mengetuai perbicaraan itu memutuskan ada 'faktor yang memburukkan'.