Pesta Angin Timur 2021 diadakan secara maya Jun ini

Aksi para peserta menangkap itik pada Pesta Angin Timur 2019. - Foto Fail Bernama
Aksi para peserta menangkap itik pada Pesta Angin Timur 2019. - Foto Fail Bernama
A
A
A

KANGAR - Buat julung kalinya, Pesta Angin Timur edisi 2021 akan diadakan secara maya pada 4 hingga 5 Jun ini.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis, Samsuring Meli berkata, acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh setiap rakyat Perlis itu dijangka berlangsung tetap meriah walaupun diadakan secara maya kali ini akibat penularan wabak Covid-19.

“Pesta Angin Timur 2021@Online (PAT2021@Online) bertemakan ‘Mai Pakat Mai, Mai Jengok Ramai-Ramai’ akan disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook JKKN dan JKKN TV dan orang ramai dapat menonton pelbagai persembahan kebudayaan yang menarik tidak kira di mana jua mereka berada,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Samsuring berkata, pelancaran PAT2021 akan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man di Auditorium JKKN Perlis pada 4 Jun.

“Bagi menjaga prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal, hanya 200 orang dibenarkan masuk ke auditorium JKKN pada hari pelancaran dan orang ramai yang tidak berkesempatan boleh menonton secara dalam talian,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang dua hari PAT 2021, orang ramai disajikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan yang disiarkan secara langsung dan rakaman; antaranya persembahan kebudayaan Perlis seperti hadrah, tarian terinai, Awang Batil, alu bunyi (alat muzik menggunakan alat menuai padi), tarian canggung, gendang silat, gendang panjang (gendang siam) dan gendang 24 musim.

“Selain daripada persembahan kebudayaan, JKKN turut menyiarkan rakaman demonstrasi membuat wau helang, adat menanam padi, teknik menanam mangga Harumanis dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah berjaya menyiapkan 80 peratus rakaman video persembahan menggunakan studio sendiri dan dijangka siap sepenuhnya pada awal bulan depan.

Artikel Berkaitan:

Samsuring berkata, pihaknya menguna teknologi layar hijau bagi menghidupkan suasana latar belakang rakaman.

Katanya, JKKN Perlis menjangkakan mampu menarik 50,000 penonton untuk PAT2021@Online. - Bernama