X

Kindly register in order to view this article
!

SSM perkenal Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP)

Faedah mendaftarkan perniagaan.
A
A

PANDEMIK Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pelbagai peringkat sejak Mac tahun lalu sehingga kini menyebabkan ramai individu hilang pekerjaan.

Keadaan ini telah mendorong kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif dan pelan pemulihan ekonomi dalam membantu meringankan beban rakyat dan sektor peniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sejak tahun lalu.

Prihatin dengan nasib rakyat yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah mengambil langkah ke hadapan bagi menyokong usaha dan inisiatif kerajaan untuk memudah cara rakyat yang terkesan menceburi bidang perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Nor Azimah Abdul Aziz berkata, SSM sebagai sebuah badan berkanun yang mengawal selia entiti perniagaan di negara ini melalui aktiviti pendaftaran, pembekalan maklumat dan penguatkuasaan seimbang memahami kesukaran sebahagian masyarakat dalam mengharungi detik sukar ini.

Beliau berkata, SSM telah melaksanakan pelbagai inisiatif pada tahun 2020 dan masih diteruskan pada tahun ini.

“Antara inisitif yang telah diperkenalkan adalah Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP).

“SPPP diperkenalkan sebagai sokongan dan galakan kepada masyarakat khususnya golongan B40 untuk menceburi bidang perniagaan bagi menjana sumber pendapatan alternatif kepada penggajian terutamanyaapabila hilang pekerjaan,” katanya.

SPPP diperluas kepada usahawan B40, pelajar IPT

Menurut Nor Azimah, SPPP telah diperkenalkan bagi membantu individu terjejas akibat pandemik Covid-19 untuk mendaftarkan perniagaan mereka secara percuma melalui pengecualian fi pendaftaran.

Beliau berkata, sebelum ini, SSM telah melancarkan Skim 1 Pelajar 1 Perniagaan (S1P1P) pada 1 Januari 2017.

“Di bawah program ini, pelajar-pelajar sepenuh masa di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), politeknik, kolej dan pusat-pusat kemahiran dalam negara yang ingin mendaftarkan perniagaan mereka dengan SSM di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 akan dikecualikan fi pendaftaran,” katanya.

Nor Azimah berkata, sehingga 31 Disember 2020, sebanyak 65,837 perniagaan telah memanfaatkan S1P1P.

Nor Azimah
Nor Azimah

“Selaras dengan situasi semasa, SSM komited untuk membantu masyarakat yang terkesan dengan memperkenalkan SPPP yang dilancarkan pada 23 Disember 2020. SPPP diperkenalkan sebagai usaha penambahbaikan kepada S1P1P,” katanya.

Beliau berkata, pelancaran itu adalah lanjutan daripada pengumuman yang dibuat oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di sidang Dewan Rakyat pada 15 Disember 2020.

“Pada peringkat awal pelaksanaan SPPP, skim ini ditawarkan kepada golongan belia dan ibu tunggal dalam kumpulan B40 serta pelajar IPT sepenuh masa.

“Namun, pada 16 Februari 2021, SSM telah menambah baik skim ini untuk diperluaskan kepada semua golongan usahawan kumpulan B40 dan pelajar IPT sepenuh masa. Skim ini tidak lagi terhad kepada golongan belia, ibu tunggal serta pelajar sahaja seperti sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, SPPP bukan sahaja dapat menarik minat golongan yang terkesan untuk menceburi bidang perniagaan tetapi dapat membantu mereka menerokai bidang perniagaan yang berpotensi untuk menjana pendapatan.

Menurut Nor Azimah, SSM menjangkakan seramai 180,000 usahawan kumpulan B40 dan pelajar IPT sepenuh masa akan memanfaatkan skim ini untuk menceburi bidang perniagaan.

“Sejak SPPP diperkenalkan sebanyak 4,447 permohonan telah diluluskan merangkumi perniagaan milikan tunggal dan perkongsian,” katanya.

Tambahnya, sebagai galakan kepada orang ramai untuk menceburi bidang perniagaan dan memanfaatkan SPPP, SSM turut menganjurkan Program Bimbingan Usahawan 2021 (PBU21).

“Program ini bermatlamat untuk memberikan pendedahan mengenai amalan perniagaan kepada golongan sasaran dan membantu mereka meningkatkan taraf ekonomi kendiri melalui aktiviti perniagaan” katanya.

Kepentingan perniagaan berdaftar

Menurut Nor Azimah, semua perniagaan perlu berdaftar dengan SSM sama ada di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 yang terpakai di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan sahaja atau di bawah Akta Syarikat 2016 dan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012.

“Peruntukan ini tidak hanya merujuk kepada aktiviti perniagaan yang dijalankan secara konvensional, tetapi turut merangkumi aktiviti perniagaan

yang dijalankan secara dalam talian (online),” katanya.

Beliau berkata, perniagaan yang berdaftar adalah perniagaan yang sah di sisi undang-undang dan mempunyai maklumat lengkap dan terkini yang disimpan di SSM dan boleh disemak oleh awam.

“Perniagaan yang berdaftar juga dapat melindungi pengguna daripada ditipuserta memberi keyakinan kepada pembeli untuk menjalankan aktiviti

urus niaga, menguatkuasakan hak di sisi undang-undang, mendapatkan dana bagi modal perniagaan dan pelbagai faedah yang lain,” katanya.

Oleh itu, beliau turut menyeru para peniaga untuk memanfaatkan SPPP ini dengan mendaftarkan perniagaan secara percuma dengan SSM.

SSM mendukung agenda kerajaan

Nor Azimah berkata, SSM mendapati pandemik Covid-19 telah mendorong ramai individu yang terkesan menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

“Malah semasa tempoh pandemik ini, SSM merekodkan peningkatan jumlah pendaftaran perniagaan baharu iaitu sebanyak 389,919 pada tahun 2020 berbanding 363,605 pada tahun 2019 dengan peningkatan sebanyak 7.2 peratus.

“Ini menunjukkan bahawa pandemik bukan penghalang orang ramai untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan,” katanya.

Nor Azimah berkata, SPPP yang diperkenalkan oleh SSM adalah selaras dengan agenda Program Strategi Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

“Selain itu, SSM turut memberi pengecualian kompaun atas kelewatan memperbaharui pendaftaran perniagaan dan kelewatan mendaftarkan perniagaan baharu di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 sehingga 31 Disember 2021.

“Pengecualian kompaun ini diperkenalkan bertujuan membantu komuniti perniagaan yang terkesan semasa PKP di mana ramai peniaga dan bakal peniaga tidak dapat memperbaharui perakuan pendaftaran perniagaan atau lewat mendaftarkan perniagaan baharu menyebabkan mereka dikenakan kompaun,” katanya.

SSM memudahkan urusan pelanggan

Beliau berkata, dengan perkembangan teknologi pada masa kini, SSM turut menawarkan urusan berkaitan pendaftaran perniagaan yang boleh dilakukan secara online melalui pautan ezbiz.ssm.com.my.

“Pendaftaran perniagaan kini menjadi lebih mudah dan boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana sahaja hanya di hujung jari.

Malahan proses kini lebih pantas berbanding dahulu,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai SPPP dan SSM boleh menghubungi pusat panggilan SSM di talian 03-77214000 atau emel ke [email protected]

Info SPPP

SPPP telah diperluaskan kepada semua usahawan kumpulan B40 termasuk pelajar IPT sepenuh masa secara percuma (Pengecualian fi pendaftaran perniagaan).

Berikut adalah perincian kategori yang layak memohon SPPP:

(a) Kategori Usahawan Kumpulan B40:

Pemegang MyKad/MyPR; Berumur 18 tahun dan ke atas mengikut syarat pendaftaran perniagaan;

Mempunyai maklumat dalam pangkalan data penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 Bagi Golongan B40. (Semakan boleh dibuat di https://bpn.hasil.gov.my/); dan

Tiada rekod entiti perniagaan yang masih aktif di SSM.

(b) Kategori Pelajar IPT Sepenuh Masa:

Pemegang MyKad/MyPR;

Wargenagara berumur 18 tahun dan ke atas mengikut syarat pendaftaran perniagaan;

Pengajian belajar/kursus secara sepenuh masa di mana-mana IPTA/ IPTS/ Politeknik/ Kolej/ Institut Kemahiran/ Pusat Kemahiran di dalam negara; dan

Tiada rekod entiti perniagaan yang masih aktif di SSM.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!