X

Kindly register in order to view this article
!

EB Frozen, Sinar Harian rai frontliners

Ewen (empat dari kiri) bersama Hashim (kanan) merakamkan gambar bersama wakil guru yang hadir bagi menerima sumbangan tersebut di SMK Seksyen 19, Shah Alam pada Isnin.
A
A

SHAH ALAM - EB Frozen Food Sdn Bhd menjalinkan kerjasama dengan Sinar Harian menerusi program Singgah Sinar Iftar 1-Meter bagi meraikan golongan petugas barisan hadapan sempena Ramadan.

Pengurus Pemasaran Unit Perniagaan Domestik EB Frozen Food, Sea Ewen berkata, menerusi kerjasama itu, pihaknya menyerahkan sumbangan pek makanan bersama beg barangan mengandungi produk sejuk beku keluaran syarikat mereka kepada petugas barisan hadapan.

Ewen berkata, sumbangan itu merupakan sebahagian program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka di samping menghargai peranan dimainkan petugas barisan hadapan dalam memerangi wabak Covid-19.

“Pandemik Covid-19 telah menjejaskan pelbagai sektor dan petugas barisan telah banyak berkorban dalam memastikan rakyat negara ini dapat dilindungi.

“Jadi penyerahan sumbangan ini sedikit sebanyak sebagai tanda sokongan atas pengorbanan mereka selama ini,” katanya selepas program Singgah Sinar Iftar 1-Meter di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19 di sini pada Isnin.

Menerusi penyerahan itu, sebanyak 50 pek makanan dan beg barangan produk EB Frozen disumbangkan kepada guru-guru di sekolah terbabit.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengurus Tugas-tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang.

Mengulas lanjut mengenai program itu, Ewen berkata, pihaknya selepas ini akan berkunjung ke dua lagi lokasi iaitu Hospital Shah Alam dan KL Sentral bagi meraikan petugas barisan hadapan di sana.

“Kami akan pergi ke dua lagi lokasi itu untuk menyerahkan sumbangan kepada petugas di lokasi terlibat.

“Sumbangan produk makanan sejuk beku yang kami berikan ini juga amat bersesuaian untuk dinikmati pada bulan Ramadan ini berikutan penyediaannya yang mudah dan cepat,” kata beliau lagi.

Sementara itu, Penolong Kanan (Petang) SMK Seksyen 19, Noor Shamshuriyani Hashim berkata, pihak sekolah amat menghargai sumbangan diberikan menerusi program tersebut bagi meraikan guru-guru serta petugas barisan hadapan pada Ramadan ini.

“Pihak sekolah ingin ucap ribuan terima kasih kepada EB Frozen dan Sinar Harian di atas sumbangan ini yang juga merupakan sebahagian daripada program CSR mereka,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!