Penyanyi Nash dilaporkan stabil

Tangkap layar video yang dikongsikan melalui Facebook Azlee Senario.
Tangkap layar video yang dikongsikan melalui Facebook Azlee Senario.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Vokalis kumpulan Lefthanded, Datuk Nashrudin Elias atau dikenali sebagai Nash, 62, yang terbabit kemalangan di Kilometer 250.8 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah utara pada Selasa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Menerusi hantaran video Persatuan Seniman Malaysia yang melawatnya di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini, Nash bagaimanapun mengadu sakit di bahagian belakang badan kesan daripada kemalangan tersebut.

"Terima kasih semua yang datang ke hospital. Saya dalam keadaan yang stabil cuma ada jahit sikit di bibir dekat atas dan bawah. Selain itu ada cedera di siku.

"Saya juga ada sakit urat belakang saya, rasa macam tegang sangat, memang sakit sangat.

"Jadi, yang paling penting doakan untuk saya. Doa awak semua adalah doa mustajab. Doakan untuk saya, maaf zahir batin, doakan saya kuat dan selamat berpuasa," kata Nash menerusi video tersebut.

Kira-kira jam 4 petang Selasa, kereta jenis Toyota Harrier yang dipandu oleh pemandunya melanggar lopak air menyebabkan kenderaan tersebut hilang kawalan lalu terbabas melanggar tembok pengadang jalan di sebelah kiri lebuh raya.

Akibat kemalangan itu, Nash mengalami luka di muka dan sakit dada, manakala pemandunya yang berumur 33 tahun hanya mengalami luka ringan.

Penyanyi itu kemudian dihantar ke HTJ untuk rawatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Nash cedera terbabit kemalangan di lebuh raya