Kuasa di tangan ahli Parlimen UMNO

MKT UMNO sudah diberi mandat untuk menentukan tempoh parti itu menarik kembali sokongan terhadap kerajaan PN pada PAU 2020 bulan lalu.
MKT UMNO sudah diberi mandat untuk menentukan tempoh parti itu menarik kembali sokongan terhadap kerajaan PN pada PAU 2020 bulan lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kuasa yang menentukan sama ada UMNO bakal menarik sepenuhnya sokongan parti itu daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) terletak di tangan ahli-ahli Parlimennya dan bukan keputusan pucuk kepimpinan parti.

Sumber dalaman Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, pihaknya mengakui ada menerima jemputan bagi menghadiri mesyuarat MKT yang dijadualkan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 25 April ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menerima sebarang maklumat bahawa usul menarik balik sokongan UMNO terhadap kerajaan PN bakal dimuktamadkan pada Sabtu ini.

“Sebaliknya, saya difahamkan antara perkara utama yang bakal dibincangkan dalam mesyuarat MKT pertama selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 adalah sama ada proses pemilihan UMNO akan diadakan mengikut jadual atau ditangguhkan.

“Mengenai kemungkinan UMNO bakal menarik sepenuhnya sokongan daripada kerajaan PN, kalau usul itu dibincangkan di peringkat mesyuarat Biro Politik dan MKT kelak, saya tidak akan bersetuju. Kalau UMNO keluar kerajaan, UMNO hendak pilih kerajaan mana?

“Kalau mahu bentuk kerajaan dengan PH (Pakatan Harapan), saya tidak setuju. Kena ingat kuasa menentukan sama ada UMNO akan terus kekal dalam kerajaan PN adalah terletak di tangan ahli Parlimen UMNO sendiri,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.Sumber berkenaan yang juga merupakan salah seorang ahli Parlimen UMNO berkata demikian bagi mengulas desas-desus parti itu dikatakan bakal menarik balik sepenuhnya sokongan terhadap kerajaan PN dalam mesyuarat MKT yang akan diadakan pada 25 April ini.Sekiranya usul menarik balik sokongan daripada kerajaan PN dimuktamadkan, hayat kerajaan PN secara automatiknya akan terjejas kerana jumlah keseluruhan ahli Parlimen UMNO dan BN yang masih memberikan sokongan adalah berjumlah 38 orang.

Dalam pada itu, sumber UMNO tersebut turut yakin majoriti ahli Parlimen UMNO dan BN tidak akan bersetuju sekiranya parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam keadaan bersendirian dan menjadi pembangkang.Jelas beliau, situasi itu tidak adil kepada ahli-ahli Parlimen yang berada di negeri-negeri yang dimenangi UMNO pada PRU14.

“UMNO sekarang sudah berada dalam pakatan parti yang memerintah kerajaan, kalau ada kekurangan sekali pun, bincang dan berundinglah untuk penambahbaikan.

Artikel Berkaitan:

“Lagipun, usul dimuktamadkan dalam MKT sebelum ini adalah UMNO akan terus menyokong kerajaan PN sehingga Parlimen terbubar.

“Kalau susah sangat mahu runding, lantik sahajalah pemimpin UMNO seperti Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim untuk menjadi perunding dengan kepimpinan PN,” ujarnya.

Seorang Ahli MKT UMNO, Datuk Khaidirah Abu Zahar pula berpandangan, soal keputusan besar seperti menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN bukan boleh dibuat oleh satu atau dua orang pemimpin sahaja.

Khaidirah
Khaidirah

Sebaliknya, beliau menegaskan PAU 2020 sudah membuat ketetapan usul sokongan UMNO kepada kerajaan PN akan diteruskan sehingga Parlimen dibubarkan.

“Lebih baik parti membincangkan soal tarikh pemilihan UMNO dengan lebih serius kerana proses itu terkandung dalam perlembagaan parti dengan bulan Jun ini, tempoh penggal kepimpinan sedia ada sudah cukup tiga tahun.

“Soal pemilihan UMNO sebelum pilihan raya juga tidak boleh dijadikan alasan akan berlaku perpecahan kerana sekiranya ianya diadakan dalam masa terdekat, UMNO dan akar umbi sudah cukup matang untuk menangani sebarang situasi,” katanya.

Khaidirah turut mengambil contoh proses peralihan kuasa kepimpinan parti daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 31 Oktober 2003 sebagai satu bukti perubahan yang membawa kebaikan besar dalam UMNO.

“Sudah tiba masanya untuk mana-mana pemimpin menyedari bahawa mereka tidak boleh terus berada di atas untuk tempoh yang lama sehingga lebih 20 tahun. Kalau parti mahu membuat pemilihan, kena buat betul-betul,” katanya.