X

Kindly register in order to view this article
!

Dua pelajar kolej ditahan kemuka borang rentas negeri palsu

Borang rentas rentas negeri yang tidak lengkap disyaki palsu yang digunakan oleh suspek terbabit.
A
A

BENTONG - Tindakan dua pelajar kolej swasta menggunakan borang rentas negeri yang disyaki palsu mengundang padah apabila mereka ditahan di sekatan jalan raya Plaza Tol Bentong di sini pada Isnin.

Kedua-duanya merupakan wanita berusia 22 tahun itu ditahan dalam sebuah kenderaan kira-kira jam 6.45 petang oleh anggota bertugas di SJR tersebut ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala Kuantan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pemeriksaan mendapati dokumen perjalanan kedua-dua wanita terbabit agak meragukan dan disyaki telah dipalsukan.

Menurutnya, hasil siasatan awal, pihaknya percaya cop dan tandatangan ketua balai yang meluluskan permit itu disyaki palsu dan dipercayai dibuat secara imbasan (scan) serta tulisan turut dipinda.

"Pemeriksaan ke atas telefon bimbit milik salah seorang wanita itu didapati ada salinan borang kosong rentas negeri siap ditandatangani dan dipercayai turut dipalsukan.

"Ujian saringan air kencing ke atas suspek telah dijalankan dan salah seorang positif ganja," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam borang yang dikemukakan kedua-dua suspek itu, alasan permohonan yang ditulis untuk memindahkan barang dan hadir kelas di Sunway University tanpa tiada cop rasmi balai dan nombor siri serta cop imbasan melalui komputer.

"Hasil siasatan, kedua-duanya pelajar kolej swasta yang berbeza tapi bukan seperti yang dinyatakan dalam borang tersebut," jelasnya lagi.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan pemalsuan bagi maksud hendak menipu, Seksyen 471 KK menggunakan surat pemalsuan sebagai tulen dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Mengulas lanjut katanya, suspek yang didapati positif ujian air kencing itu pula turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Saya ingin mengingatkan orang ramai yang hendak membuat perjalanan rentas negeri agar tidak mengemukakan borang yang telah diubah suai dengan niat memalsukan dokumen itu dan pihak polis tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas.

"Polis Daerah Bentong akan terus mengetatkan pemeriksaan di semua sekatan jalan raya antara negeri yang melibatkan sempadan Selangor dan Negeri Sembilan untuk memastikan penularan pandemik Covid-19 di negeri ini dapat dikawal memandangkan Plaza Tol Bentong adalah laluan utama ke pantai timur khususnya dari Lembah Kelang," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!