X

Kindly register in order to view this article
!

Suka, benci biar berpada

A
A

ADA sesuatu yang menarik apabila Pengasas Malakat Mall, Coach Fadzil Hashim menaikkan status di Facebook berita pertemuannya dengan sekumpulan tauke Cina pasar borong GM Klang ketika mereka berkunjung ke Malakat Mall, Cyberjaya.

Malakat Mall memposisikan jenamanya sebagai mall Muslim yang pertama di Malaysia.

Malah, pada bulan Ramadan ini, ketika mall-mall lain sibuk dengan astaka dan reruai Aidilfitrinya, Malakat Mall menjunjung syiar Ramadan.

Ruang solat terbentang luas di ruang legarnya dan solat lima waktu, tazkirah, tadarus, tarawih dan qiamulail diadakan siang dan malam.

Munculnya Malakat Mall ketika kempen Buy Muslim First sedang bersemarak pada penghujung 2019 mendapat sokongan orang Melayu.

Di sebalik mereka yang menyukai perhubungan usahawan Muslim dan tauke Cina ini, terdapat sebilangan lain yang mengkritik.

Kononnya, perjuangan Islam mula diketepikan, Malakat Mall akan dipermainkan, malah membayangkan seolah-olah mall Muslim ini didalangi oleh orang Cina.

Dari kaca mata burung, insiden ini adalah salah satu daripada berpuluh-puluh kes sentimen membenci.

Datuk Hussamuddin Yaacub, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf yang juga menjuarai kempen Rasuah Busters pun turut menyentuh tentang perlunya kita melakukan penjajaran nasional dalam konteks hubungan di antara kaum.

Dalam seminggu dua ini kita diberitahu mengenai kes-kes betapa seorang majikan Cina membelasah pengawalnya hanya kerana mereka berpuasa.

Sebuah sekolah di Johor pula mengasingkan aktiviti sukan mengikut kaum.

Terdapat dua-tiga kes individu yang bersuara lantang mengkritik azan. Apabila Steven Sim, wakil rakyat berbangsa Cina menderma sebuah motosikal kepada seorang penghantar makanan, ia dilihat dengan curiga.

Untuk sekian kalinya kita terikut-ikut dengan sentimen parochialisme iaitu memandang sesuatu hanya dari perspektif peribadi dan menolak pula pandangan orang lain.

Apa nak jadi dengan kita pada hari ini? Di sebalik kata-kata bahawa dunia sekarang dunia tanpa sempadan, kita mahu ketelusan dan jangan kongkong informasi dan kita bijak dan boleh buat keputusan sendiri; kita juga masih menganuti fahaman umum untuk benci-membenci sesama warga negara.

Apabila kita sentiasa curiga dengan mereka yang kita terima sebagai mereka yang sudah ditakdir kena hidup bersama, kita tidak realistik bila membina tembok sesama kita.

Dalam sejarah manusia, mana-mana tembok yang terbina akan sukar diruntuhkan. Kita ingat, kita menghalang mereka dengan tembok. Rupa-rupanya tanpa disedari, kita yang terkurung.

Bukan semua orang Cina, India atau mana-mana kaum yang jahat. Begitu juga bukan semua orang Melayu yang baik.

Kita sebagai manusia perlu mempunyai pandangan, pendirian dan tindakan yang adil pada mereka, lebih-lebih lagi adil pada diri sendiri.

Sesiapa pun ada baik dan buruknya. Kita manusia yang harus memilih.

Jika manusia di zaman dahulu kala perlu pandai memilih mana satu buah yang boleh dimakan dan yang mana satu beracun, kita sebagai manusia pada hari ini kenalah pandai pilih mana satu manusia yang jahat dan yang boleh dibuat kawan.

Jika kita guna cara pukul rata iaitu membenci dan menyukai tanpa menggunakan kebolehan memilih, apakah akal kita tak sehebat manusia dahulu kala?

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!