‘Saya sedia cadang pemilihan UMNO tidak ditangguhkan’

Jalaluddin
Jalaluddin
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pemimpin UMNO bersedia mencadangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) agar proses pemilihan UMNO diadakan mengikut jadual dan tidak ditangguhkan lagi.

Ahli MKT UMNO, Datuk Jalaluddin Alias berkata, cadangan itu akan dikemukakan dalam mesyuarat MKT yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (PWT), Kuala Lumpur pada 25 April ini.

Jelas beliau, cadangan itu perlu dimuktamadkan kerana UMNO sebenarnya memerlukan mandat baharu daripada ahli-ahli parti bagi mengukuhkan peluang memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Selain itu, saya mengambil kira pandangan semua pihak termasuk beberapa pemimpin UMNO lain dan akar umbi parti yang menggesa proses pemilihan tidak ditangguhkan sekiranya pilihan raya tidak diadakan pada tahun ini.

“Walaupun keputusan mesyuarat MKT akan dibuat secara kolektif, saya yakin pemilihan UMNO akan berlaku pada tahun ini dan tidak akan ditangguhkan. Kita akan cuba endorse secepat mungkin,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.Beliau berkata demikian ketika mengulas desas-desus mesyuarat MKT UMNO yang akan diadakan pada 25 April ini bakal membuat keputusan sama ada pemilihan UMNO akan diadakan mengikut jadual atau ditangguhkan.

Sekiranya mengikut Perlembagaan UMNO, proses pemilihan perlu diadakan setiap tiga tahun sekali dengan tempoh penggal kepimpinan parti sedia ada berakhir pada bulan Jun.

Bagaimanapun, perlembagaan juga menyebut pemilihan UMNO boleh ditangguhkan kepada 18 bulan, dengan syarat alasan penangguhannya diterima Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS).

Selain itu, mesyuarat MKT tersebut juga bakal menjadi penentu hayat kerajaan Perikatan Nasional (PN) susulan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada hujung bulan lepas sebulat suara memberikan mandat kepada badan tertinggi UMNO itu untuk menentukan tempoh kepada parti menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekiranya PN tidak membubarkan Parlimen sebelum atau selepas tempoh darurat 1 Ogos, UMNO akan menarik diri daripada menyokong kerajaan sedia ada.

Sementara itu, Jalaluddin turut menyifatkan dakwaan UMNO bakal menarik sepenuhnya sokongan terhadap kerajaan PN sebagai satu pandangan semata-mata.

Ujarnya, semua pihak bebas memberikan pandangan masing-masing, namun akhirnya satu keputusan muktamad akan dibuat dalam mesyuarat MKT kelak.

“Semua mesyuarat MKT penting untuk kita buat keputusan demi kepentingan parti. Keputusan pula akan dibuat secara kolektif, maka kita tunggu sahaja hasil keputusan MKT nanti,” katanya.