FAM teliti insiden Cabrera sentuh pengadil

Laporan Sukan Sinar pada Ahad. Gambar kecil: Stuart Ramalingam
Laporan Sukan Sinar pada Ahad. Gambar kecil: Stuart Ramalingam
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) belum ada sebarang kata putus berhubung insiden melibatkan tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) Gonzalo Gabriel Cabrera yang menyentuh pengadil dalam aksi Liga Super menentang Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Jumaat, lapor MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, insiden yang berlaku itu memerlukan perbincangan terlebih dulu antara Unit Pengadil dan Undang-undang badan induk bola sepak negara itu sebelum sebarang keputusan boleh dibuat.

“Saya bukan pakar dalam pengadilan, tetapi saya boleh kongsi perbincangan dan status mengenai perkara ini. Apabila penolakan atau sentuhan ke atas pengadil berlaku, ada banyak jenis sentuhan. Ada sentuhan yang agresif atau ada juga sentuhan hanya untuk memberhentikan pengadil atau memanggil pengadil.

“Jadi kita perlu melihat apa tujuan sentuhan itu. Untuk kes (Cabrera) baru-baru ini, saya tidak mahu buat komen lagi kerana saya perlukan perbincangan dengan unit berkaitan terlebih dulu,” katanya pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Putrajaya pada Isnin.

Pada Ahad, legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menyifatkan Liga Malaysia (Liga-M) umpama liga yo-yo terutama dalam isu mutu pengadilan yang disifatkan sering membuat keputusan yang tidak konsisten.

Jamal Nasir merujuk kepada insiden membabitkan pemain muda Kedah Darul Aman (KDA) FC, Fadzrul Danel Mohd Nizam yang dibuang padang kerana menyentuh pengadil ketika aksi menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Darul Aman minggu lalu.

Insiden hampir sama berlaku apabila Cabrera dilihat menyentuh pengadil, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah dalam pertemuan menentang Sri Pahang FC, namun dia terlepas daripada dilayangkan kad merah.

Dalam pada itu, Stuart turut mengesahkan telah mengeluarkan caj notis kepada KDA FC supaya memberikan penjelasan mengenai insiden membabitkan Fadzrul Danel.

Artikel Berkaitan:

“Untuk pemain Kedah yang diberikan kad merah, perkara ini telah dikeluarkan charge notice kepada pasukan Kedah untuk memberikan afidavit atau surat balasan kepada charge notice itu.

“Untuk satu lagi kes (Cabrera) itu, saya berikan sedikit masa kepada unit berkaitan untuk memberikan maklumat secara lebih mendalam sebelum saya buat komen rasmi,” jelasnya.