Menyampah, meluat jadi punca PKR letak calon terkuat lawan Azmin?

Azmin
Azmin
A
A
A

SHAH ALAM - Teka-teki mengenai siapakah lawan sebenar ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti dilihat semakin mecetuskan gelora senario politik tanah air sejak kebelakangan ini.

Bukan apa, duka sebaik Azmin bersama 10 ahli Parlimen meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada penghujung Februari lepas pastinya masih berbekas di hati penyokong dan parti PKR.

Tidak hairanlah, beberapa nama yang bukan calang-calang seperti ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dikatakan berada dalam radar pengurusan tertinggi PKR berdepan Azmin pada PRU15 nanti.

Penganalisis politik, Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, ini merupakan peluang terbaik buat pengundi memilih wakil rakyat yang ditentukan secara adil dan bukan sekadar populariti semata-mata.

"Saya percaya ini merupakan isu dalaman parti (PKR). Apabila Azmin dan yang lain keluar parti, pasti timbul rasa tidak puas hati ahli dan kepimpinan parti.

"Jadi, mereka akan pastikan buku bertemu ruas sekali gus memastikan calon yang terbaik buat mereka," katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun ujar Awang Azman, PKR sewajarnya berhati-hati semasa mengenal pasti calon yang tepat dan terbaik dalam pertembungan dua penjuru bersama Azmin.

"Pemilihan Amirudin sebagai calon agak membimbangkan berdasarkan imejnya sebagai sekutu rapat Azmin sebelum ini, jadi pengundi mungkin bimbang bahawa ada kemungkinan beliau akan melompat ke parti lain.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga tidak rasa Nurul Izzah akan diletakkan bertanding di Gombak kerana ada kemungkinan dia bertanding di Ampang (berdepan Datuk Zuraida Kamaruddin), jadi saya rasa peluang mana-mana calon untuk menang juga 50-50," jelasnya.

Seorang lagi penganalisis politik, Prof Madya Dr. Kartini Aboo Talib pula berkata, PRU15 akan menguji sejauh mana PKR masih relevan kepada rakyat, jadi beliau optimis bahawa PKR akan benar-benar bersedia dengan strategi tegar untuk menang.

Kartini
Kartini

"Azmin seorang yang berpengaruh dan telah membuktikan kredibiliti sebagai mantan Menteri Besar yang berkaliber, saya pasti calon yang diletakkan menentang beliau juga adalah calon yang kuat.

"Mengenai sentimen benci kepada Azmin juga sukar untuk ditafsir kerana tujuan pilihan raya adalah untuk menang undi majoriti, maka segala usaha dan risiko akan dipertaruhkan," ujar beliau.

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, jawatan kuasa pusat PKR di peringkat akar umbi masih menilai calon yang sesuai untuk bertanding di Gombak, namun tidak menolak kemungkinan antara kriteria calon pilihan parti ketika PRU15 nanti termasuklah berpotensi untuk menang, setia dan tidak belot terhadap parti.

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil

"Tanyalah sesiapa pun, pastinya marah dan meluat dengan siapa yang lompat parti, jadi apa jua sentimen terhadap isu pengkhianatan ini terletak di tangan Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berdasarkan kriteria seperti lokasi bertanding yang strategik atau faktor-faktor lain ketika memilih calon terbaik pada waktu itu.

"Masih terlalu awal sekarang, nama calon sebenar yang bertanding juga hanya diumum selepas Parlimen dibubarkan ketika PRU15 semakin dekat kelak," ujar Fahmi.