Jangan pandang mudah kluster pendidikan

Pengawal Keselamatan Asis Samsudin, 41, menutup pagar sekolah berikutan penutupan Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Sri Damansara 2, pada Selasa. - Foto Bernama
Pengawal Keselamatan Asis Samsudin, 41, menutup pagar sekolah berikutan penutupan Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Sri Damansara 2, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PADA 5 April lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengakui memang terdapat peningkatan kluster pendidikan melibatkan murid, guru dan kakitangan sekolah di seluruh negara.

Pada ketika itu, katanya, sekurang-kurangnya terdapat 20 kluster pendidikan yang telah dikenal pasti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sejak dari pendedahan itu, bagaimanapun sesi persekolah masih berjalan seperti biasa kecuali sekolah-sekolah yang dikenalpasti ada penularan pandemik kelas terlibat atau seluruh sekolah diarahkan ditutup buat sementara.

Namun, sejak dari itu juga nampaknya hampir setiap hari pasti ada kes-kes kluster pendidikan baharu di institusi pendidikan lain di seluruh negara.

Pada Isnin lalu sahaja, KKM mendedahkan terdapat enam kluster pendidikan dengan satu daripadanya merupakan kluster sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Di Kelantan sahaja pada Isnin, terdapat tiga kluster pendidikan menjadikan total kluster pendidikan di negeri Cik Siti Wan Kembang sudah mencecah 464 orang. Di Selangor pula pada Isnin juga, 19 buah sekolah terpaksa ditutup ekoran penularan kes.

Sejak beberapa hari lalu, sememangnya perdebatan mengenai kluster pendidikan semakin panas apabila ramai golongan ibu bapa yang melahirkan kebimbangan mengenai tahap keselamatan anak-anak mereka di sekolah.

Malah ada sesetengah ibu bapa terutamanya di Lembah Klang yang ‘mencutikan’ sendiri anak-anak mereka.

Artikel Berkaitan:

Beberapa pakar kesihatan berpendapat meskipun ada penularan kes di sekolah, namun tidak bermakna semua sekolah di Malaysia perlu ditutup. Namun begitu sesetengah yang lain pula mengakui bimbang trend kluster pendidikan akan mencetuskan ledakan kes Covid-19 dalam kalangan guru, murid dan kakitangan.

Yang pasti baik KKM mahupun KPM tidak boleh memandang enteng trend peningkatan mendadak kes Covid-19 yang berjangkit dari satu sekolah ke satu sekolah.

Persoalannya adakah kaedah menutup hanya sekolah berjangkit sudah memadai atau KKM perlu mencari solusi lebih berkesan dengan menutup keseluruhan institusi pendidikan di seluruh negara.