Protes anti-Perancis makin agresif di Pakistan

Para penyokong parti Tehreek-e-Labbaik Pakistan berhimpun bagi membantah penangkapan ketuanya, Saad Hussain Rizvi di Lahore pada 13 April lalu. - Foto AFP
Para penyokong parti Tehreek-e-Labbaik Pakistan berhimpun bagi membantah penangkapan ketuanya, Saad Hussain Rizvi di Lahore pada 13 April lalu. - Foto AFP
A
A
A

SENTIMEN anti-Perancis di Pakistan semakin meningkat selepas berlaku tunjuk perasaan dalam kalangan penduduk tempatan bagi membantah penyiaran kartun-kartun yang didakwa sebagai Nabi Muhammad SAW di sebuah majalah satira di Paris, Charlie Hebdo.

Negara itu sebelum ini berdepan dengan sentimen tersebut sejak Presiden Perancis, Emmanuel Macron mempertahankan penyiaran kartun-kartun berkenaan selain berjanji untuk memerangi fahaman pemisahan Islamis di negaranya.

Macron dilaporkan pernah berkata pada hujung tahun 2020 di Paris bahawa fahaman pemisahan Islamis itu amat berbahaya kepada Perancis kerana ia boleh mewujudkan sebuah masyarakat yang menentang komuniti arus perdana.

Presiden Pakistan, Imran Khan turut menyelar Macron setelah Presiden Perancis itu mempertahankan hak majalah tersebut yang menyiarkan kartun-kartun berkenaan sekali gus membangkitkan kemarahan umat Islam.

Pada 1 September 2020, majalah Charlie Hebdo menyiarkan semula kartun-kartun yang dianggapnya sebagai Nabi Muhammad sehari sebelum 14 orang dibicarakan di mahkamah Perancis kerana dituduh membantu dua penyerang Islam melakukan serangan bersenjata di Paris pada 7 Januari 2015.

Dua penyerang tersebut melakukan serangan di pejabat majalah berkenaan selepas ia menyiarkan kartun-kartun yang dianggap sebagai Nabi Muhammad SAW sehingga membunuh 17 orang manakala kedua-dua penyerang tersebut akhirnya mati ditembak oleh pihak berkuasa.

Pada 20 September 2020 pula, beberapa minggu selepas Charlie Hebdo menyiarkan semula kartun-kartun Nabi Muhammad SAW, seorang individu yang dilahirkan di Pakistan dan berusia 18 tahun menikam dua orang sehingga cedera parah di luar bekas pejabat majalah berkenaan di Paris.

Menurut portal berita BBC, individu itu dilaporkan berkata, dia melakukan tindakannya itu disebabkan oleh Charlie Hebdo menyiarkan semula kartun-kartun yang dianggap oleh majalah berkenaan sebagai Nabi Muhammad SAW.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, protes anti-Perancis yang diadakan di Pakistan sejak beberapa minggu lalu itu dipercayai didalangi oleh sebuah parti politik, Tehreek-e-Labbaik Pakistan (TLP) sehingga menyebabkan seorang pemimpinnya ditahan di Lahore.

Gambar fail menunjukkan para penyokong parti Tehreek-e-Labbaik Pakistan melakukan sekatan dalam tunjuk perasaan anti-Perancis di sebatang jalan raya di Islamabad. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan para penyokong parti Tehreek-e-Labbaik Pakistan melakukan sekatan dalam tunjuk perasaan anti-Perancis di sebatang jalan raya di Islamabad. - Foto AFP

Pada 12 April lalu, Ketua TLP, Saad Hussain Rizvi ditahan oleh pasukan keselamatan di Lahore yang mana Ketua Polis Lahore, Ghulam Mahmood Dogar berkata, beliau ditangkap sebagai usaha untuk mengekalkan ketenteraman awam.

Bagaimanapun, para pekerja TLP bertindak menyekat jalan-jalan raya dan laluan-laluan di negara berkenaan sehingga menjejaskan lalu-lintas manakala pengembara-pengembara pula terperangkap di dalam kenderaan masing-masing setelah Rizvi ditahan.

Pada November tahun lalu, parti politik tersebut mendesak supaya tunjuk perasaan secara duduk diadakan di sebuah lebuh raya ke Islamabad berikutan Macron membuat kenyataan yang dianggap bercirikan Islamofobia.

Ketika itu juga, kerajaan Pakistan menandatangani satu perjanjian dengan TLP dan berjanji untuk menimbangkan pengusiran Duta Perancis dari negara tersebut, mengharamhkan semua barangan keluaran Perancis dan menjamin bahawa semua penunjuk perasaan yang ditahan diberikan pengampunan.

Pada Februari lalu, satu lagi perjanjian baharu ditandatangani dengan parti tersebut selepas TLP mengancam untuk melakukan satu tunjuk perasaan selepas mendapati tidak ada tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan dalam melaksanakan perjanjian lama.

Perjanjian baharu itu menyatakan kerajaan bersetuju untuk mengusir Duta Perancis tersebut menjelang 20 April lalu.

Namun, pada Rabu minggu lalu, kerajaan pimpinan Khan mengumumkan bahawa parti TLP telah diharamkan selain melabelkannya sebagai sebuah pertubuhan pengganas kerana ia dipercayai terlibat dengan keganasan selian terlibat dalam mewujudkan anarki di Pakistan.

Bukan saja parti tersebut diharamkan tetapi Menteri Dalam Negeri, Sheikh Rashid Ahmad berkata pada Selasa lalu bahawa keputusan untuk mengusir Duta Perancis dari Pakistan akan diputuskan oleh Parlimen pada Khamis ini.

Sentimen anti-Perancis itu semakin agresif apabila pada 19 April lalu, sebanyak 11 pegawai polis Pakistan ditahan oleh para penyokong parti radikal tersebut bagi menuntut Duta Perancis diusir dari Pakistan.

Bagaimanapun, pegawai-pegawai polis itu telah dibebaskan awal Isnin lepas.

Dalam pada itu, enam anggota polis turut terbunuh dan ratusan lagi cedera dalam siri tunjuk perasaan anti-Perancis.

Ekoran keadaan yang dilihat mungkin membahayakan warga Perancis, Kedutaan Perancis di Pakistan telah menasihatkan rakyatnya supaya meninggalkan negara berkenaan.

Pada Isnin lalu, satu sumber Kementerian Luar Perancis menyatakan semua kakitangan kedutaan tersebut yang tidak penting dipanggil untuk kembali semula ke tanah air.

Dalam pada itu, Imran dilaporkan berkata bahawa mengusir keluar Duta Perancis akan memberikan kesan yang teruk kepada ekonomi Pakistan tetapi ia tidak memberikan sebarang kesan kepada Perancis.

Menurut portal berita Politico, Perdana Menteri Pakistan itu menyatakan jika duta tersebut diusir, ia seolah-olah bermakna Islamabad memutuskan hubungan dengan Kesatuan Eropah (EU), sekali gus menyebabkan separuh daripada tekstil keluaran negaranya tidak lagi akan dieksport ke EU. - Agensi