'Terima kasih KOM'

No Image Caption
A
A
A

“APA yang berlaku ini sesungguhnya telah ditetapkan ALLAH SWT. Moga ada hikmah di sebalik setiap kejadian ini.”

Itu luahan Mohd Poad Md Kassim selepas Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) membenarkan hasrat dua jaguh pecut negara - Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Haiqal Hanafi untuk kembali berlatih bersamanya.

Menurut Mohd Poad, beliau amat mengalukan-alukan kebenaran yang diberikan KOM untuk kembali melatih kedua-dua bekas anak didiknya itu demi mengangkat reputasi olahraga Malaysia.

“Coach tidak memaksa mereka untuk kembali bersama kerana ini merupakan suara hati mereka. Kita doakan supaya mereka lebih berjaya pada masa depan selepas ini.

"Coach ingin mengucapkan terima kasih kepada KOM yang diterajui Datuk SM Muthu kerana mendengar suara hati Khairul Hafiz dan Muhammad Haiqal untuk berlatih kembali bersama saya demi negara.

“Terima kasih juga kepada semua pihak yang menghormati dan memahami suara hati Khairul Hafiz dan Muhammad Haiqal yang mahu lebih berjaya pada masa depan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Khairul Hafiz dan Haiqal sebelum ini menarik perhatian pelbagai pihak selepas menyatakan hasrat kembali semula bersama Mohd Poad selepas lebih tujuh bulan ditempatkan bersama semua atlet pecut elit kebangsaan di bawah Pengarah Teknikal KOM, Dwayne Miller di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil sejak Ogos tahun lalu.

Malah, mereka menyifatkannya langkah terbaik demi kemajuan prestasi dalam tempoh jangka panjang dengan aspek keserasian yang telah terbina menjadi faktor utama.

Artikel Berkaitan:

Mohd Poad turut percaya kedua-dua atlet tersebut tidak berdepan masalah mengadaptasi semula corak latihan yang pernah dilalui sebelum ini walaupun terpisah lapan bulan sebelum ini.

“Insya-ALLAH tiada masalah bagi coach kerana di sana pun kedua-dua mereka menjalani latihan selama ini, cuma mungkin ada sesetengah part mereka yang coach perlu develop semula bagi meningkatkan kelajuan mereka," jelasnya.

Mengulas mengenai Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia pada 11 hingga 13 Jun depan, Mohd Poad berkata, kejohanan tersebut merupakan pentas terbaik untuk Khairul Hafiz dan Haiqal kembali mempamerkan kecemerlangan prestasi masing-masing.

"Coach berharap kedua-dua mereka akan memanfaatkan Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang mana coach letakkan sasaran masa 10.50 saat untuk mereka berdasarkan situasi semasa," ujarnya.

Mengenai keputusan KOM yang mewajibkan Khairul Hafiz dan Haiqal kembali ke MSN bagi latihan 4x100 meter (m), Mohd Poad percaya perkara tersebut tidak akan menjejaskan tumpuan kedua-dua atlet berkenaan.

"Pada coach perkara itu pun tidak menjadi masalah kerana sebelum ini kita pernah melalui situasi sama," katanya.