Pengusaha kuih tradisional dibantu iklankan produk di laman sosial

Mohd Huzaimy (dua dari kanan) beramah mesra dengan pengusaha akok dan nekbat terkenal, Ibrahim Yunus, 57, (kanan) pada Program Lawatan Pengusaha Kuih-Muih Kelantan di Kampung Merabang pada Selasa. Foto Bernama
Mohd Huzaimy (dua dari kanan) beramah mesra dengan pengusaha akok dan nekbat terkenal, Ibrahim Yunus, 57, (kanan) pada Program Lawatan Pengusaha Kuih-Muih Kelantan di Kampung Merabang pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

BACHOK - Pengusaha kuih tradisional yang masih bertahan menaikkan ekonomi setempat termasuk di luar bandar akan diberi perhatian terutama dari segi bantuan pengiklanan dan kemudahan asas.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perkhidmatan Awam, Pembangunan Luar Bandar dan Integriti Kelantan, Mohd Huzaimy Che Husin berkata, berdasarkan pemantauannya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lepas, ramai pembuat kuih gigih mengusahakan produk mereka biarpun permintaan berkurangan berbanding sebelum merebaknya wabak Covid-19.

"Pada bulan puasa ini, antara sokongan segera yang kami lakukan ialah membeli produk makanan yang dijual dan diagihkan kepada masyarakat supaya kelompok peniaga kecil ini tidak ketinggalan dan terus bersemangat untuk meneruskan perniagaan.

"Ada juga dalam kalangan mereka perlu dibantu dari segi promosi terutama bagi pengusaha dalam kalangan orang kampung yang tidak mahir mengiklankan secara dalam talian seperti perniagaan tuak sejuk beku, kita panjangkan perniagaan mereka menerusi laman sosial," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Lawatan Pengusaha Kuih-Muih Kelantan di Kampung Merabang, di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Huzaimy berkata perhatian diberikan kepada peniaga memandangkan mereka juga turut berperanan besar dalam menyumbang kepada peningkatan ekonomi setempat.

"Sehingga kini, kerajaan sudah membantu pengusaha kecil ini termasuk memberikan peralatan seperti mesin pengacau kuih di bawah peruntukan Industri Kecil dan Sederhana (IKS)," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: