X

Kindly register in order to view this article
!

Dakwaan pemain muda berkelana di Jerman akan dipenjara tidak tepat

Diniz Irwan pernah dipanggil ke kem latihan pusat skuad kebangsaan B-18 pada 2019. - Foto: FB Diniz Irwan
A
A

DAKWAAN pemain muda bola sepak negara, Muhammad Diniz Irwan, yang dilaporkan akan dihadapkan ke mahkamah di Jerman serta berisiko dipenjarakan susulan tunggakan yuran tahunan pembelajaran adalah tidak tepat.

Malah, tunggakan berjumlah €33,000 (RM163,874.69) sejak Oktober tahun lalu seperti dilaporkan media turut tidak sahih, sebaliknya tunggakan itu berjumlah €10,272.68 (RM50,960.11) dan ia sejak September tahun lalu, demikian menurut sumber.

“Jika tak bayar tunggakan itu kontrak sekolah akan ditamatkan dan beliau tidak boleh ke sana (masuk ke sekolah) bermula 1 Mei, melainkan dia melangsaikannya. Visa Diniz juga tidak boleh disambung dan dia kena balik Malaysia paling lewat pada 2 Jun depan,” katanya kepada Bernama pada Selasa.

Muhammad Diniz, 20, menyambung pelajaran selama dua tahun di European School RheinMain di Frankfurt setibanya di Jerman pada Februari tahun lalu, untuk mengejar impian menjadi seorang pemain bola sepak profesional.

Bekas pemain Selangor United yang pernah dipanggil ke kem latihan pusat skuad kebangsaan Bawah 18 Tahun (B-18) pada 2019 itu, mengembangkan potensinya di Jerman dengan beraksi bersama skuad simpanan Edersheim FC, namun difahamkan tanpa menandatangani kontrak profesional.

Akhbar tempatan baru-baru ini melaporkan Muhammad Diniz, akan dihadapkan ke mahkamah di Jerman dalam masa terdekat dan berisiko dipenjarakan, jika gagal melangsaikan tunggakan yuran terbabit, sekali gus tidak dapat pulang ke Malaysia dan impian bergelar pemain profesional musnah.

Dalam masa sama, sumber menjelaskan pihak sekolah tidak menyatakan di dalam surat pemberitahuan bahawa seseorang pelajar akan dihadapkan ke mahkamah atau dipenjarakan kerana kegagalan membayar tunggakan yuran.

Malah, sumber menegaskan sekolah tersebut merupakan sekolah swasta dan bukannya berstatus separuh kerajaan seperti dilaporkan akhbar berkenaan.

“Apa sahaja laporan pasal mahkamah dan penjara melibatkan kerajaan Jerman tidak boleh dibuat main-main. Undang-undang di sana tak boleh disalah erti dan diperguna untuk meraih simpati atau kepentingan individu,” katanya.

Dalam pada itu, sumber mengesahkan yuran tahunan bagi tahun 2021/2022 sekitar jumlah yang sama dengan tahun 2020/2021.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!