Ventilator mungkin rosak ketika proses pengangkutan: KKM

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati kerosakan ventilator diterima beberapa hospital di Sarawak berkemungkinan berpunca ketika proses pengangkutan peralatan itu ke hospital ditetapkan.

KKM dalam satu kenyataan berkata, kerosakan juga berkemungkinan berpunca daripada sensor oksigen dan papan litar utama yang sangat sensitif terhadap getaran, suhu dan kelembapan semasa pengangkutan.

Menurut KKM, sebanyak 10 unit ventilator Unit Rawatan Rapi (ICU) sedia ada jenis Draeger Evita 4 itu berada dalam keadaan baik selepas diuji terlebih dahulu sebelum dihantar ke Sarawak.

“Ia sebelum ini digunakan di Hospital Sungai Buloh bagi tujuan kecemasan dan telah dihantar ke beberapa hospital di Sarawak melalui penerbangan Malaysia Airlines pada 12 April lalu.

“Hospital-hospital yang menerima bantuan tersebut adalah Hospital Sarikei (dua unit), Hospital Sibu (lima unit) dan Hospital Bintulu (empat unit).

"Mengambil kira kegunaan peralatan tersebut adalah untuk kegunaan di ICU sahaja, ventilator tersebut akan disambungkan ke unit saluran udara perubatan (MA4) sebelum digunakan.

“Penggunaan ventilator di wad-wad biasa selain ICU adalah ventilator daripada jenis turbin yang mempunyai pemampat udara dalaman,” kata KKM dalam kenyataan pada Selasa.

KKM berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Irene Chang yang mendakwa lapan daripada 10 ventilator yang diberikan KKM kepada Sarawak pada 13 April lalu tidak berfungsi dengan baik.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, KKM berkata, pihaknya kini dalam proses mendapatkan tambahan ventilator baharu bagi memenuhi keperluan peralatan ventilator di seluruh negara termasuk Sarawak.

Sebagai tambahan, KKM juga telah menghantar lapan unit ventilator berjenama Weinmenn yang baharu serta lapan unit ICU Patient Monitor ke Hospital Sarikei.

“Sebanyak tiga unit daripada ventilator tersebut telah diuji dan sedang digunakan sehingga kini manakala lima unit lain akan diuji dan ditauliahkan dalam minggu ini,” katanya.

Tambah KKM, pihaknya juga akan menghantar tambahan 11 unit ventilator jenama Sternmed dan Weinmenn yang baharu ke Sarawak dan pengangkutan kesemuanya diuruskan dengan segera.