X

Kindly register in order to view this article
!

Thailand catat empat lagi kematian, 1,443 kes baharu Covid-19

Seorang lelaki memakai pelitup muka berjalan ke stesen skytrain BTS di Bangkok. - Foto Xinhua
A
A

BANGKOK - Thailand mencatat 1,443 kes baharu Covid-19 dan empat lagi korban sejak 24 jam lalu menjadikan jumlah kes kini mencecah 45,185 dan 108 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata, sebanyak 1,441 membabitkan penularan tempatan termasuk 350 kes di Bangkok diikuti Chiang Mai (116), Chonburi (82), Samut Prakan (60) dan Pathum Thani. Dua kes diimport turut dilaporkan.

"Bulan ini sahaja sebanyak 16,322 kes direkodkan.

"Sehingga kini, sejumlah 222 pesakit Covid-19 mengalami beberapa gejala dan jumlah pesakit yang memerlukan bantuan mesin pernafasan meningkat kepada 55 orang," katanya pada taklimat Covid-19 di sini pada Selasa.

Empat kematian melibatkan lelaki tempatan berusia 78 tahun dan 30 tahun serta wanita 78 tahun selain seorang wanita warga India berusia 86 tahun.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul berkata, semua pesakit mesti dirawat di hospital.

Beliau memberi jaminan hospital mempunyai katil yang cukup untuk menampung keperluan pesakit.

"Pesakit tidak perlu melakukan kuarantin kendiri atau merawat diri sendiri kerana hospital serta hospital lapangan mempunyai katil yang cukup," katanya.

Sementara itu, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Thailand telah memberi lampu hijau kepada tiga syarikat swasta untuk mengimport dan mendaftar vaksin Covid-19.

Ketua Setiausaha FDA, Dr Paisan Dankhum berkata, sebanyak 14 syarikat telah memohon untuk mengimport vaksin Covid-19.

"FDA telah mempertimbangkan dengan teliti semua calon dengan menumpukan kepada aspek keselamatan dan kesihatan masyarakat," katanya seperti dipetik The Nation.

Setakat ini, Pertubuhan Farmaseutikal Kerajaan (GPO) satu-satunya pengimport vaksin Covid-19. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!