X

Kindly register in order to view this article
!

KOM beri Hafiz Jantan, Muhammad Haiqal lampu hijau

Muthu
A
A

HASRAT dua jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Haiqal Hanafi untuk kembali berlatih dengan bekas jurulatih mereka, Mohd Poad Md Kassim disifatkan sebagai pilihan tepat.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu berkata, kedua-dua atlet tersebut wajar diberikan peluang untuk kembali berlatih bersama Mohd Poad yang melatih mereka sejak di sekolah menengah lagi.

Menurutnya, latihan itu juga diharap dapat membantu persediaan jangka panjang KOM berdasarkan kepada keserasian dalam kalangan mereka.

“Sebelum ini, Mohd Poad yang melatih mereka berdua (Khairul Hafiz, Muhammad Haiqal) sebelum kita serahkan mereka untuk berlatih dengan jurulatih baharu dari Amerika Syarikat (AS), Dwayne Miller.

“Namun, latihan Miller dilihat lebih kepada acara 200m dan 400m dan mungkin ia tidak berapa sesuai dengan kedua-dua atlet kebangsaan kita, (Khairul Hafiz, Muhammad Haiqal).

“Oleh itu, bagi kita, adalah lebih baik untuk mereka kembali berlatih bersama Mohd Poad yang lebih spesifik kepada acara pecut (100 meter),” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

KOM menyokong hasrat Hafiz Jantan dan Muhammad Haiqal untuk berlatih kembali bersama Mohd Poad selepas diputuskan dalam mesyuarat bersama Institut Sukan Negara (ISN), Pengurusan Sukan Olahraga Majlis Sukan Negara (MSN), Pengarah Teknikal KOM, Dwayne Miller dan Mohd Poad pada Khamis lalu.

Khairul Hafiz yang juga dikenali dengan gelaran Speedy Jantan dan Raja Pecut Asia Tenggara, Muhammad Haiqal pada Isnin dilaporkan bakal kembali berlatih dengan Mohd Poad.

Sementara itu, Muthu berharap Khairul Hafiz dan Muhammad Haiqal dapat memanfaatkan latihan bersama Mohd Poad dalam usaha mengembalikan prestasi masing-masing.

“Mereka berdua ini tidak berapa sesuai untuk acara 200 meter atau 400 meter kerana adalah atlet pecut.

“Oleh itu, sememangnya memerlukan jurulatih yang dapat mengembalikan semangat kedua-dua atlet ini (Khairul Hafiz dan Muhammad Haiqal) agar bersemangat untuk kembali menjadi juara,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!