Pematuhan SOP: 'Kluster kayangan' juga tidak terlepas

Mohd Rafiq Mohd Abdullah
Mohd Rafiq Mohd Abdullah
A
A
A

SHAH ALAM - Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tidak mengamalkan 'double standard' malah 'kluster kayangan' juga tidak terlepas daripada tindakan undang undang jika melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Mohd Rafiq Mohd Abdullah berkata, kerajaan juga tidak mencampuri urusan PDRM dalam perlaksanaan hukuman dan tindakan mahkamah terhadap golongan terbabit.

"Saya perlu menegaskan bahawa kerajaan pada hari ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (juga) sebut berkali-kali bahawa beliau tidak mahu mencampuri urusan PDRM dan mahkamah.

"Kalau kita kata ada dua kluster (kluster kayangan dan kluster rakyat biasa), 'kluster kayangan' apabila buat salah tak kena tindakan saya agak tidak bersetuju kerana ramai juga dalam kalangan pimpinan pimpinan politik dalam kerajaan (dikenakan tindakan).

"Ini termasuk kalau saya boleh sebut ialah Yang Berhormat Datuk Rashid Asari selaku Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Selangor pernah dikompaun kerana melanggar SOP. Beliau juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-249 bertajuk 'Darurat: Covid-19 Gagal Ditangani, SOP Separuh Masak?' yang disiarkan menerusi platform dalam talian di Facebook Sinar Harian pada Selasa.

Wacana turut menampilkan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Pakar Ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma juga sebagai panelis, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu, beliau bagaimanapun tidak menolak pandangan negatif wujud 'kluster kayangan' namun percaya pihak berkuasa khususnya PDRM mahu pun kerajaan bersikap tegas terhadap sesiapa sahaja berhubung pematuhan SOP.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin ada pandangan (itu) dan kita tidak nafikan tetapi saya yakin dan percaya dalam melaksanakan SOP ini kerajaan atau pihak berkuasa tidak mengamalkan 'double standard' tidak kira kepada siapa. Ini pandangan peribadi saya.

"Jadi saya tidak nampak (ada 'double standard'), mungkin ada kluster-kluster baharu atau artis pergi bercuti dan sebagainya yang menipu dengan mengeluarkan surat kata tujuan dia lain dan sebenarnya perbuatan dia lain," katanya.