Kenaikan harga komponen makanan ternakan luar kawalan kerajaan

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee
A
A
A

PUTRAJAYA - Kenaikan harga komponen makanan ternakan seperti jagung serta soya adalah disebabkan harga pasaran antarabangsa yang di luar kawalan kerajaan, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata, kenaikan itu bukan berlaku semalam tetapi sejak empat bulan lepas.

"Ia di luar kawalan sebab melibatkan pasaran antarabangsa. Kenyataannya (ialah) kita masih bergantung pada komponen makanan haiwan dari negara luar," katanya kepada pemberita selepas mengagihkan bubur lambuk di kementeriannya di sini pada Selasa.

Ronald berkata, Malaysia masih banyak mengimport jagung dan soya yang menjadi sebahagian daripada komponen makanan haiwan.

“Kita tidak menghasilkan cukup jagung untuk dijadikan makanan haiwan. Kalau ia diimport dari luar maka negara kita tidak dapat mengawal harga pada kadar yang berpatutan," katanya.

Baru-baru ini dilaporkan bahawa kenaikan harga makanan ternakan yang terdiri daripada soya dan jagung, yang kebanyakannya diimport dari Argentina dan Brazil, dikesan menjadi antara punca kenaikan harga ayam di negara ini.

Ronald berkata, keprihatinan kerajaan melalui penetapan harga ayam standard pada kadar RM7.90 sekilogram dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021, yang akan bermula esok hingga 20 Mei, dilihat mampu mengurangkan harga pasaran ayam yang tinggi ketika ini.

Mengulas kegagalan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) membekalkan benih padi sah ke Kedah, Ronald berkata, ia bukan kerana benih tidak mencukupi tetapi varieti yang dipohon pesawah kurang dalam pasaran dan usaha sedang dijalankan untuk menghantar varieti lain bagi menampung keperluan benih padi sah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Nafas sedang mengambil langkah yang perlu bagi menangani masalah itu dan yakin masalah pesawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sudah berada dalam perhatian agensi tersebut. - Bernama