Polis tahan lelaki bergaduh dengan jiran

No Image Caption
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis telah menahan lelaki yang terlibat dengan kes pergaduhan dengan jirannya sehingga mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita dalam kejadian di Taman Permatang Tinggi Indah di sini petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, suspek berusia 42 tahun itu juga mengalami patah tangan akibat pergelutan dan dia dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Suspek bukan melarikan diri sebaliknya dia dihantar ke hospital selepas turut mengalami kecederaan.

"Suspek telah ditangkap dan kita akan jalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar pergaduhan antara mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.

Sinar Harian melaporkan hanya kerana air basuhan najis burung merpati masuk ke laman rumah menjadi punca pergaduhan antara dua jiran sehingga menyebabkan seorang wanita cedera di pipi akibat terkena senjata tajam dalam kejadian di Taman Permatang Tinggi Indah di sini petang Isnin.

Kejadian jam 4.10 petang itu dikatakan bermula apabila suspek dikatakan tidak berpuas hati dengan jirannya berusia 52 tahun yang sedang mencuci kesan najis burung merpati sebelum berlaku perang mulut antara mereka.

Shafee berkata, suspek kemudiannya bertindak agresif dengan mengacukan sebilah sabit ke arah jirannya.

"Pergaduhan itu disedari anak perempuan lelaki berkenaan berusia 27 tahun sebelum dia bertindak menyelamatkan bapanya.

Artikel Berkaitan:

"Namun disebabkan pergelutan yang berlaku sabit tersebut terkena di bahagian pipi sebelah kirinya," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Serang jiran gara-gara najis burung merpati