Hanya 17 masjid dibenar solat tarawih, Jumaat di Kelantan

Gambar kecil: Tengku Muhammad Rizam
Gambar kecil: Tengku Muhammad Rizam
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengarahkan solat sunat tarawih dan Jumaat serta fardu hanya dibenarkan di 17 masjid bandar dan jajahan di Kelantan susulan peningkatan kes Covid-19 berkuatkuasa mulai Rabu.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Muhammad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mengampuni perkenan sebagaimana peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan memutuskan perkara itu.

Menurutnya, bagi masjid mukim, surau dan musala di seluruh negeri Kelantan ditutup sehingga suatu tarikh yang dimaklumkan kelak.

"Pelaksanaan solat Jumaat, fardu dan tarawih di masjid negeri, jajahan dan bandar adalah dibenarkan 50 peratus daripada kapasiti masjid selepas penjarakan sosial. Jemaah hendaklah berada dalam saf dengan penjarakan sosial dua meter.

"Aktiviti lain termasuk tazkirah, tadarus al-Quran, iktikaf dan lain-lain adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, senarai masjid bandar dan jajahan yang dibenarkan beroperasi turut diedar sebagai rujukan manakala aktiviti di masjid mukim, surau dan musala adalah dilarang.

Katanya, MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan ini.

“Prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana di atas hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid, surau, musala.

Artikel Berkaitan:

“Tindakan sewajarnya akan diambil di atas kegagalan untuk mematuhi SOP ini. Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa ALLAH SWT pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua,” katanya.

Senarai masjid bandar dan jajahan yang dibenarkan beroperasi

1: Masjid Muhammadi, Kota Bharu

2: Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian

3: Masjid Al-Ismaili Bandar Baru Pasir Pekan

4: Masjid Sultan Muhammad II, Telipot

5: Masjid Sultan Mansor, Kampung Sireh

6: Masjid D'raja Long Yunus, Langgar

7: Masjid Bandar As-Salam, Pengkalan Chepa

8: Majlis Ismaili, Tumpat

9: Masjid Mahmoodi, Bachok

10: Masjid Ibrahimi, Pasir Puteh

11: Masjid Sultan Yahya Petra, Machang

12: Masjid Tengku Muhammad Faris Petra, Kuala Krai

13: Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra, Gua Musang

14: Masjid Sultan Muhammad 1, Jeli

15: Masjid Sultan Muhammad III, Pasir Mas

16: Masjid Ismail Petra, Tanah Merah

17: Masjid Bandar An-Nur, Kuala Krai.