Darurat gagal tangani Covid-19, kerajaan lebih fokus kekal berkuasa

Mujahid Yusof Rawa
Mujahid Yusof Rawa
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Gambaran sebenar kenapa darurat gagal menangani penularan Covid-19 tidak dapat dilihat apabila isu Covid-19 dipisahkan dengan krisis politik yang berlaku dalam negara.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, krisis politik juga dilihat sebagai menyumbang kepada ketidakberkesanan itu.

"Ini termasuk isu tidak percaya segala prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan kerana adanya di sana dua darjat dalam penguatkuasaan dan juga isu melibatkan krisis politik.

"Kerajaan tidak fokus untuk melihat bagaimana hendak menyelesaikan masalah ini dengan efektif tetapi lebih fokus kepada bagaimana mereka hendak kekal berkuasa dengan masalah majoriti yang kita semua tahu.

"Maka darurat dalam hal ini, pada pandangan saya bukanlah sangat isu untuk mengendalikan Covid-19 kerana Akta Kawalan Penyakit Berjangkit sudah memadai sebenarnya hanya memerlukan keberkesanan. Tetapi kita dan semua orang tahu darurat ialah isu politik, tidak ada hubungannya isu kita bincangkan iaitu Covid-19 dan keberkesanan menanganinya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-249 bertajuk 'Darurat: Covid-19 Gagal Ditangani, SOP Separuh Masak?' disiarkan menerusi dalam talian di Facebook Sinar Harian pada Selasa.

Wacana turut menampilkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Mohd Rafiq Mohd Abdullah dan Pakar Ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma juga sebagai panelis, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Artikel Berkaitan:

Dari kanan, Mohd Rafiq, Madeline Berma dan Ismail pada Wacana Sinar Harian Siri ke-249 bertajuk 'Darurat: Covid-19 Gagal Ditangani, SOP Separuh Masak?' disiarkan menerusi dalam talian di Facebook Sinar Harian pada Selasa.
Dari kanan, Mohd Rafiq, Madeline Berma dan Ismail pada Wacana Sinar Harian Siri ke-249 bertajuk 'Darurat: Covid-19 Gagal Ditangani, SOP Separuh Masak?' disiarkan menerusi dalam talian di Facebook Sinar Harian pada Selasa.

Dalam pada itu, Mujahid yang juga bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mempersoalkan sejauh mana kadar imunisasi kepada rakyat dapat mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

"Kita hendak target imunisasi ini untuk membentuk satu kelompok imuniti di mana 75 peratus penduduk jikalau mereka telah diimunisasikan maka Covid-19 ini tidak akan berkembang.

"Soalnya sekarang yang kita perlu bincang ialah macam mana kita hendak meningkatkan supaya kadar imunisasi itu betul-betul mencapai sasaran kepada rakyat," katanya.

Beliau memaklumkan, setakat Februari lalu hanya 25,000 hingga 26,000 rakyat sahaja yang menerima suntikan vaksin dan ia akan mengambil masa lama untuk memastikan 75 peratus rakyat Malaysia dapat mencapai imuniti.

"Tapi malangnya saya ingin kongsi di sini, setakat Februari ketika kita melancarkan vaksinasi ini hanya 25,000 hingga 26,000 yang menerima sedangkan kalau kita mengambil 75 peratus jumlah rakyat ia akan memerlukan lebih empat tahun untuk kita capai imuniti.

"Ini tidak baik sama sekali. Jadi ini pun kita kena bincang. Jangan kita bercakap satu bab tanpa kita melihat bahawa keseluruhan isu kita bincangkan ada kena mengena antara satu sama lain. Ini termasuk persepsi kepada kerajaan yang lemah untuk mengendalikan isu ini pun kita tidak boleh lari," katanya.