Peraturan tingkatkan bekalan dedak isirung sawit sedang diteliti

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali -Foto Bernama
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Satu peraturan untuk meningkatkan bekalan dedak isirung sawit tempatan sebagai makanan haiwan ternakan sedang diteliti bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan import, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata, dedak isirung sawit yang memiliki kelebihan dalam kandungan nutrien serta kos yang kompetitif dan mempunyai permintaan tinggi.

"Di peringkat kementerian, saya mengambil serius perkara ini dan kami sedang memikirkan cara supaya bekalan kita di peringkat tempatan tidak terjejas," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama Exco-Exco Pertanian, di sini pada Selasa.

Baru-baru ini dilaporkan bahawa kenaikan harga makanan ternakan yang terdiri daripada soya dan jagung yang kebanyakannya diimport dari Argentina dan Brazil dikesan menjadi antara punca kenaikan harga ayam di negara ini.

Mengenai negeri yang menggalakkan penebangan pokok sawit dan getah bagi menggantikan tanaman yang pendapatan lebih lumayan beliau berkata matlamat Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) adalah untuk memastikan bekalan getah kekal mencukupi untuk keperluan dalaman dan luar.

"Walaupun ada yang melihat daripada sudut ekonomi namun KPPK melihat secara mikro dan akan terus pertahankan industri perladangan getah dengan pelbagai insentif dan dasar baharu untuk meningkatkan pendapatan para pekebun," katanya.

Sementara itu, mengenai mesyuarat berkenaan Mohd Khairuddin berkata, lima kertas telah dibentangkan antaranya Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030, isu dan cabaran dalam pelaksanaan skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) dalam kalangan pekebun kecil persendirian dan ladang komuniti getah berintegrasi bagi pembangunan rantaian bersepadu serta pemerkasaan pekebun kecil.

Beliau berkata, mesyuarat bersama exco pertanian itu akan diadakan sebanyak tiga kali setahun sebagai platform interaksi bagi berkongsi dasar, perancangan dan insentif KPPK kerana perladangan melibatkan tanah yang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. - Bernama

Artikel Berkaitan: