ESSCom tahan lapan pendatang haram Indonesia di Tawau

Antara pendatang haram Indonesia yang berjaya ditahan di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas, Tawau pada Isnin.
Antara pendatang haram Indonesia yang berjaya ditahan di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas, Tawau pada Isnin.
A
A
A

TAWAU - Lapan pendatang haram warga Indonesia ditahan pasukan keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas, di sini pada 7.55 malam Isnin.

Komander ESSCom, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, turut ditahan dua lelaki warga tempatan dipercayai sedang menunggu pendatang haram tersebut untuk dibawa ke sebuah lokasi yang masih dalam siasatan.

"Pasukan keselamatan mengesan pergerakan sebuah bot dari arah perairan Indonesia dalam keadaan mencurigakan menuju ke perairan Kampung Kurnia Jaya.

“Susulan itu sepasukan anggota keselamatan dari Pasukan Gerakan Am serta Angkatan Tentera Malaysia dalam tugasan Op Cegah Pati diatur gerak ke sebuah rumah atas air untuk pemeriksaan yang menemukan lapan pendatang haram di ruang tamu rumah itu,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, pendatang haram yang ditahan itu terdiri daripada enam lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki berusia antara 10 hingga 70 tahun, manakala dua lelaki tempatan itu masing-masing berusia 26 dan 28 tahun.

Ahmad Fuad berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 55(E) Akta Imigresen 1959/63. - Bernama

Artikel Berkaitan: