Doktor, ejen ditahan kes sindiket palsu rekod kelahiran

Ruslin menunjukan borang daftar kelahiran pada sidang akhbar mengenai tangkapan suspek sindiket pendaftaran kelahiran palsu di JPN Putrajaya pada Selasa. Foto Bernama
Ruslin menunjukan borang daftar kelahiran pada sidang akhbar mengenai tangkapan suspek sindiket pendaftaran kelahiran palsu di JPN Putrajaya pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menahan dua individu termasuk seorang doktor swasta yang disyaki terlibat dalam lebih 200 kes sindiket pemalsuan maklumat kelahiran sejak 2009, pada Isnin.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh berkata, doktor itu ditahan di Putrajaya manakala seorang lagi yang merupakan ejen aktif melakukan kegiatan itu di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang, ditahan di rumahnya di Melaka.

“Dengan tertangkapnya kedua-dua mereka ini, JPN dapat menyelesaikan sebahagian daripada kes sindiket pemalsuan palsu maklumat kelahiran yang dijejaki sejak 2009 di sebuah klinik bersalin swasta di Petaling Jaya,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Beliau berkata, modus operandi sindiket itu adalah menawarkan anak angkat kepada pasangan yang tidak mempunyai anak dan didaftarkan sebagai anak kandung, manakala doktor yang terlibat menandatangani dan mengesahkan Borang Daftar Kelahiran JPN.LM01.

"Sindiket akan memasukkan maklumat kanak-kanak serta maklumat pasangan, seolah-olah anak itu dilahirkan oleh isteri pasangan berkenaan, dan ejen bersama-sama pasangan akan menguruskan pendaftaran kanak-kanak di JPN menggunakan dokumen palsu," katanya.

Ruslin berkata, siasatan mendapati setiap urusan dikenakan bayaran antara RM8,000 dan RM20,000, manakala kebanyakan bayi yang didaftarkan itu kini berumur antara 12 dan 16 tahun dengan identiti sebenar ibu kandung mereka tidak diketahui, kerana urusan serahan bayi diatur oleh pihak sindiket.

“Rekod kelahiran kanak-kanak terbabit yang majoritinya berketurunan Cina telah disenaraihitamkan. Saya seru agar ibu bapa mereka hadir dan beri kerjasama dengan JPN untuk menyelesaikan siasatan; jika tidak, JPN sendiri akan mengesan dan menjejaki mereka,” katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu, segala maklumat sedia ada dalam daftar kelahiran akan dikemas kini dan dibetulkan, iaitu dengan membuang maklumat ibu bapa terlibat, manakala status warganegara kanak-kanak itu akan menjadi ‘belum ditentukan’ kerana identiti ibu bapa sebenar tidak diketahui.

Artikel Berkaitan:

“Ibu bapa terbabit dibenar membuat permohonan ‘pengangkatan’ sekiranya mahu terus menjaga kanak-kanak itu melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun tertakluk kepada prosedur perundangan yang betul,” katanya dan menambah JPN akan bekerjasama dengan JKM dan Kementerian Kesihatan dalam kes itu.

Ruslin berkata, pihaknya juga akan melakukan siasatan dalaman bagi melihat sama ada terdapat anggota JPN terlibat dalam sindiket, dan klinik atau hospital terlibat juga akan dihubungi bagi mendapatkan pengesahan kelahiran bayi.

Beliau seterusnya mengingatkan pasangan yang ingin mendapatkan anak angkat, supaya membuat permohonan menerusi proses sah dan tidak menggunakan orang tengah bagi berurusan dengan JPN. - Bernama