Satu lagi maahad tahfiz di Kelantan dikenakan PKPD

Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat (MTAQ), Pulai Chondong, Machang di Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok hingga 4 Mei berikutan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak. -Gambar hiasan
Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat (MTAQ), Pulai Chondong, Machang di Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok hingga 4 Mei berikutan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak. -Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat (MTAQ), Pulai Chondong, Machang di Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok hingga 4 Mei berikutan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD di kawasan itu dibuat setelah penilaian risiko dijalankan bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) apabila 97 kes positif direkodkan menerusi 243 ujian saringan.

“Pelaksanaan PKPD bertujuan memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan jangkitan Covid-19 ke komuniti luar,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah di Kelantan turut dikenakan PKPD bermula 19 April lepas apabila 43 kes positif Covid-19 direkodkan menerusi 396 ujian saringan.

Ismail Sabri seterusnya memaklumkan penamatan dua PKPD di Sarawak iaitu di Penjara Sri Aman dan Kuarters Kakitangan, Sri Aman esok, dan Kampung Batu Gong, Siburan, Serian pada hari ini susulan penurunan kes baharu, serta kluster terkawal.

Sementara itu, katanya 110 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) pada Isnin, dengan 106 dikenakan kompaun manakala dua lagi direman.

Merujuk kepada Operasi Benteng pula katanya, 23 pendatang asing tanpa izin ditahan dan 11 buah kenderaan darat turut dirampas. - Bernama

Artikel Berkaitan: