X

Kindly register in order to view this article
!

Gagal seludup lembu guna perahu

Salah seekor lembu yang berjaya dirampas oleh PGA Batalion 7 Kuantan.
A
A

RANTAU PANJANG - Cubaan menyeludup lembu menggunakan perahu di Sungai Golok berjaya dipatahkan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan pada Selasa.

Kesemua empat ekor lembu jantan bernilai RM25,200 itu dirampas pada jam 4 pagi berhampiran pangkalan haram Jeram Perdah 2, di sini selepas ia berjaya didaratkan oleh kumpulan penyeludup berkenaan.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, siasatan awal mendapati lembu-lembu yang diseludup dari negara jiran itu dipercayai untuk pasaran tempatan.

"Semasa melakukan pemerhatian di lokasi, anggota PGA telah melihat sekumpulan lelaki sedang mengheret beberapa ekor lembu.

"Pemerhatian lanjut mendapati, lembu-lembu itu ditarik menggunakan perahu dengan menyeberangi Sungai Golok dari Thailand sebelum dibawa masuk menggunakan laluan tidak sah ke negara ini," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Menurutnya, anggota PGA bertindak mengekori kumpulan lelaki yang sedang mengheret lembu itu, namun mereka berjaya melarikan diri ke dalam semak berhampiran setelah menyedari kehadiran anggota PGA.

Katanya, anggota PGA telah berusaha menjejak kumpulan lelaki itu namun gagal dan pemeriksaan di kawasan berdekatan telah menemui empat ekor lembu jantan.

"Kesemua lembu ini akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat bawah Seksyen (11) (1) Akta Maqis 2011," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!