Sikap 'bohong' Pas cemarkan Islam

Mohamad menurunkan tandatangan sempena perasmian Pejabat Amanah kawasan Pasir Mas di Kampung Jias.
Mohamad menurunkan tandatangan sempena perasmian Pejabat Amanah kawasan Pasir Mas di Kampung Jias.
A
A
A

PASIR MAS - Sikap pucuk pimpinan Pas yang suka berbohong akan mengakibatkan sokongan akar umbi terhadap parti itu akan terhakis.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, bukan sahaja mencemarkan imej parti ia turut memberikan impak negatif terhadap Islam yang menjadi dasar perjuangan parti itu.

"Apa yang dikatakan oleh pucuk pimpinan Pas sudah tidak boleh dipercayai kerana bagi mereka berbohong itu wajib.

"Saya yakin serta percaya selepas ini ahli Pas hilang kepercayaan kepada parti mereka kerana mempunyai pemimpin yang suka berbohong,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pejabat Amanah kawasan Pasir Mas di Kampung Jias, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Amanah Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan pimpinan parti itu di kawasan Pasir Mas.

Menurutnya, beliau bimbang pembohongan yang dilakukan Pas itu menyebabkan orang bukan Islam tidak percaya kepada Islam.

Katanya, rasa hilang kepercayaan itu disebabkan oleh mereka melihat pembohongan yang dilakukan Pas.

Artikel Berkaitan:

Mohamad berkata, sikap Pas yang suka berbohong itu diakui sendiri oleh parti itu menerusi rakaman audio berhubung dakwaan menerima wang daripada Umno.

“Malah, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan menerusi pertemuan Pas tidak menyokong calon BN.

"Namun pemimpin mereka hadir pada hari penamaan, saya tidak tahu sejauh mana perbincangan di antara Dr Mahathir dan Pas," katanya.

Mohamad berkata, beliau turut kesal dengan sikap Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang mengaitkan bapanya (Nik Abdul Aziz Nik Mat) dalam pembohongan berkaitan rakaman audio itu.

Pas semalam menafikan tidak akan menyokong UMNO pada PRK Dun Semenyih seperti didakwa Dr Mahathir.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu Pas tetap menyokong UMNO.

Bagaimanapun, tahap komitmen serta kadar pembabitan parti itu berbeza keadaannya dengan yang dilakukan parti itu pada PRK Parlimen Cameron Highlands lalu.