Bunuh rakan serumah akibat dendam, sering dibuli

Polis melakukan siasatan di lokasi mayat mangsa di buang di di tepi Jalan Persiaran Kewajipan di sini pada Ahad.
Polis melakukan siasatan di lokasi mayat mangsa di buang di di tepi Jalan Persiaran Kewajipan di sini pada Ahad.
A
A
A

SUBANG JAYA - Akibat dendam kerana sering dibuli ketika bekerja, seorang lelaki membunuh rakannya di sebuah apartment di Jalan Kemajuan di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Khalid Othman berkata, dalam kejadian pada jam 12 tengah malam, suspek dipercayai menjerut mangsa yang berusia 20 tahun menggunakan wayar elektrik sebelum menikam serta menggelar leher rakannya itu.

"Suspek dengan bantuan dua rakan subahatnya kemudian tergamak bertindak kejam dengan menyumbat mayat mangsa ke dalam sebuah tong sampah sebelum membuangnya di tepi Jalan Persiaran Kewajipan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini pada Selasa.

Abdul Khalid berkata, suspek berusia 21 tahun dan mangsa adalah rakan serumah, dia membawa dua lagi rakannya ke rumah itu dengan alasan mahu menyamun mangsa.

"Dua lelaki masing-masing berusia 20 tahun itu bersetuju tanpa mengetahui niat sebenar suspek adalah untuk membunuh mangsa dan bukan untuk menyamun," katanya.

Beliau berkata, kejadian itu disedari oleh ibu saudara mangsa berusia 60 tahun selepas gagal menghubunginya yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di SS19 di sini.

“Mangsa selalu menghubungi ibu saudaranya itu setiap hari selepas tamat bekerja namun apabila tidak menerima panggilan pada hari kejadian dan gagal menghubungi mangsa, wanita berkenaan mula berasa curiga dan membuat laporan polis," katanya.

Beliau berkata, tindakan suspek dan rakannya itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) apartmen berkenaan ketika pemeriksaan dilakukan ibu saudaranya.

Artikel Berkaitan:

"Sepasukan anggota polis yang menjalankan siasatan pada Isnin menemui karpet dan dompet milik mangsa di bawah jejantas berdekatan lokasi kejadian," katanya.

Menurutnya, polis kemudian menemui tong sampah berwarna hitam mengandungi mayat mangsa kira-kira 1.5 kilometer dari rumah sewa mangsa.

"Kita telah menahan empat lelaki dalam serbuan berasingan di Kajang, Port Dickson dan Flat Keramat Jaya Sri Perlis," katanya.

Menurutnya, siasatan awal terhadap suspek utama mendapati kejadian berlaku kerana suspek utama didapati tidak berpuas hati dan mendakwa sering dibuli oleh mangsa ketika bekerja sebagai tukang cuci di restoran sama.

"Malah suspek sering ditegur oleh lelaki berkenaan setelah pulang ke rumah," katanya.

Abdul Khalid berkata salah seorang suspek direman empat hari hingga Sabtu.

"Manakala tiga lagi suspek termasuk suspek utama direman sehingga Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.