Gadis cari bapa jadi wali nikah

Siti Aisah
Siti Aisah
A
A
A

BESUT - Seorang gadis yang bakal melangsungkan perkahwinan bulan depan berharap dapat bertemu bapanya untuk menjadi wali pernikahan selepas gagal menjejaki lelaki berkenaan sejak sekian lama.

Siti Aisah Suhaimi, 23, dari Jerteh di sini berkata, dia langsung tidak mengenali wajah kedua ibu bapanya kerana telah berpisah dengan mereka sejak lahir dan diserahkan kepada keluarga angkat.

Menurutnya, dia hanya mengenali nama bapanya, Suhaimi Riduan, 45, berasal dari Hulu Langat, Selangor, manakala ibunya, Ani Wan Awang, 43, berasal dari Taiping, Perak.

"Saya dapat tahu saya hanyalah anak angkat ketika berusia 12 tahun. Sejak itu, saya berusaha menjejaki siapa bapa dan ibu saya.

"Bertahun-tahun saya cari mereka berdua, namun sehingga kini masih gagal. Tiada langsung khabar berita daripada mereka malah sekeping gambar pun tiada untuk tatapan saya," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Siti Aisah yang kini tinggal bersama ibu angkat, Noor Azzah Jaafar, 50, dan bapa angkat, Mohd Shuhada Saat, 53, menaruh harapan dapat bertemu ibu dan bapa kandungnya menjelang hari perkahwinan.

Katanya, dia dan bakal suami akan melangsungkan perkahwinan di Pejabat Agama daerah Besut pada 23 Mei depan.

Sebarang maklumat mengenai kedua ibu dan bapa kandung Siti Aisah boleh hubungi talian 011-25709004.

Artikel Berkaitan: