Sembilan tahun jadi pembantu rumah tanpa dibayar gaji

Wanita warga Indonesia (tengah) yang diselamatkan JTK Perak selepas dipaksa menjadi buruh kasar bekerja sebagai pembantu rumah tanpa dibayar gaji selama sembilan tahun.
Wanita warga Indonesia (tengah) yang diselamatkan JTK Perak selepas dipaksa menjadi buruh kasar bekerja sebagai pembantu rumah tanpa dibayar gaji selama sembilan tahun.
A
A
A

IPOH - Seorang wanita warga Indonesia menempuh pengalaman perit dikerah sebagai buruh paksa selama sembilan tahun sebelum diselamatkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak.

Pengarah JTK Perak, Muhamad Fauzi Abd Ghani berkata, wanita berusia 33 tahun itu diselamatkan selepas pihaknya menerima maklumat kejadian itu dari Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) pada 30 Mac lalu.

Menurutnya, rakan senegara wanita itu menghubungi KBRI bagi membuat aduan mengenai penganiayaan majikan ke atas mangsa yang bekerja sebagai pembantu rumah tanpa dibayar gaji.

"Pemeriksaan sekitar jam 1.30 petang oleh Pasukan Khas Penguatkuasaan (PKP) JTK Perak bersama wakil KBRI dibantu polis ke rumah majikan di Jalan Persiaran Gopeng, di sini menemui mangsa berada di dalam rumah tersebut.

"Ketika pemeriksaan, majikan tiada di rumah kerana keluar makan dan pihak berkuasa kemudiannya membawa mangsa membuat laporan di Balai Polis Kampung Rapat," katanya.

Muhamad Fauzi Abd Ghani
Muhamad Fauzi Abd Ghani

Beliau berkata, siasatan yang dijalankan mendapati mangsa bekerja dengan majikannya tanpa dibayar gaji dalam tempoh sembilan tahun sejak Mac 2012 hingga bulan lalu.

Bagaimanapun katanya, sepanjang tempoh itu, tiada unsur penderaan dikesan terhadap mangsa dan dia berada dalam keadaan baik semasa kehadiran pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

"Pasport milik mangsa berada pada agensi pekerjaan swasta bagi tujuan perbaharui permit kerja yang dipersetujui secara lisan oleh mangsa dan majikan untuk bekerja sehingga September depan," katanya.

Muhamad Fauzi berkata, kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan kes berkenaan melalui persetujuan bersama dan jumlah bayaran gaji tertunggak itu dikira antara mangsa dan KBRI bersama majikan.

Menurutnya, majikan telah bersetuju membayar RM80,000 kepada mangsa secara berperingkat iaitu melibatkan pembayaran tunai dan transaksi bank.

"Mangsa akan pulang ke negara asal dan penghantaran pulang itu diuruskan oleh KBRI," katanya.