KKM digesa kemuka senarai sekolah terlibat Covid-19

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta mengemukakan senarai institusi pendidikan dan sekolah yang terlibat dengan kes penularan Covid-19 yang kini mencetuskan kebimbangan ramai.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya sebelum ini mendengar keluhan sebahagian ibu bapa di negeri ini yang tertanya-tanya mengenai situasi semasa sekolah anak-anak mereka yang dilaporkan berlaku kes positif.

Menurutnya, timbul pelbagai spekulasi dan andaian dalam kalangan mereka sama ada sekolah akan ditutup atau tidak.

"Kes-kes melibatkan institusi pendidikan telah menimbulkan perhatian para ibu bapa tentang sama ada institusi pendidikan termasuk sekolah, pusat tuisyen, taska dan tadika akan ditutup atau tidak memandangkan ada kes positif yang dilaporkan.

"Jadi mereka minta KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) menamakan sekolah dan senarai institusi yang terlibat dan mempunyai kes positif supaya mereka tahu keadaan dalam sekolah berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Digital Penang dan Universiti Sains Malaysia dan Angkasax Innovation Sdn Bhd, di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai situasi semasa penularan Covid-19 di institusi pendidikan dan sekolah di negeri ini.

Kon Yeow berkata, setakat ini di Pulau Pinang terdapat 10 kluster yang dilaporkan namun sembilan daripadanya melibatkan kawasan kilang.

Katanya, tiada kluster melibatkan institusi pendidikan dilaporkan setakat ini walaupun terdapat kes-kes tertentu yang berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Apabila ada kes ia tidak bermakna seluruh sistem pendidikan sekolah akan tutup tetapi pendekatan yang digunakan buat masa ini, sekiranya terdapat kes positif yang dilaporkan KKM akan buat penilaian risiko dan melihat keadaan tertentu sebelum sesuatu keputusan dibuat.

"Bagaimanapun Pulau Pinang masih belum sampai ke tahap seperti apa yang berlaku di Sarawak dan Kelantan sehingga beberapa sekolah ditutup namun sekiranya terjadi saya percaya pendekatan sama akan diambil. Hanya KKM yang akan menentukan sekiranya ada kluster membimbangkan," katanya.