Perbaharui segera pegangan pajakan tanah Sekolah Convent Bukit Nanas

Convent Bukit Nanas
Convent Bukit Nanas
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui kabinet diminta mengambil tindakan segera memperbaharui pegangan pajakan tanah Sekolah Convent Bukit Nanas yang ditubuhkan sejak 1899.

Pakar perancangan bandar, Derek Fernandez berkata, sekolah bersejarah di Kuala Lumpur itu telah melahirkan ramai tokoh terkenal dan memberikan pendidikan kepada puluhan ribu wanita.

Menurutnya, sekolah tersebut layak disenaraikan sebagai warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

"Dari perspektif perancangan, sekolah ini dizonkan di bawah Pelan Bandar KL 2020 dalam rancangan pembangunan di bawah Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982 sebagai kemudahan awam dan sebagai zon warisan.

"Sekolah bersejarah seperti ini bukan sahaja harus disenaraikan dalam Warisan dalam Rancangan Bandaraya KL 2020, tetapi diharapkan juga akan disenaraikan sebagai warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, perlindungan sekolah dan kemudahan awam dalam bandar penting untuk menjustifikasi nisbah plot pembangunan tinggi yang dibenarkan di bandar.

"Ini adalah untuk meningkatkan pembangunan satu komuniti kediaman yang kuat di dalam pusat bandar raya dan menggalakkan kegiatan ekonomi bandar serta pembangunan lestari (sustainable development).

"Sayangnya banyak sekolah dalam bandar sering menjadi sasaran 'predatory vultures' yang memandang sekolah-sekolah bandar ini sebagai sumber tanah yang murah untuk pembangunan berintensiti tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Keadaan ini menyebabkan banyak tanah seperti itu dibangunkan tanpa infrastruktur pendukung pendidikan yang baik di sekitarnya," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa pemimpin politik melindungi Convent Bukit Nanas yang telah meningkatkan hak asasi wanita melalui pendidikan selama lebih dari 120 tahun.

"Kini telah menjadi popular bagi semua pihak politik untuk memperjuangkan hak wanita dalam masyarakat kerana pendirian seperti ini mewujudkan optik yang baik di kalangan pengundi.

"Bagaimanapun, ia masih belum dapat dilihat berapa banyak pemimpin yang benar-benar akan memainkan peranan mereka dalam isu ini," katanya.