JPN Perlis buat laporan polis isu tular murid positif Covid-19

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KANGAR - [DIKEMASKINI] Jabatan Pendidikan Negeri Perlis pada Selasa membuat laporan polis berhubung isu yang tular di media sosial mendakwa sembilan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Nangka disahkan positif Covid-19.

Pengarahnya, Naharudeen Othman berkata, laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar kira-kira jam 10 pagi Selasa.

“Apa yang ditularkan di media sosial semalam (Isnin) adalah tidak benar, hanya seorang sahaja pelajar yang disahkan positif Covid-19 dan lain-lain murid yang menjadi kontak rapat disahkan negatif dan sedang dalam proses kuarantin,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini pada Selasa.

Beliau berkata, penularan maklumat yang tidak benar itu mengundang rasa panik terhadap ibu bapa dan pelajar di sekolah seluruh negeri.

“Jumlah kehadiran pelajar di SMK Guar Nangka dan sekolah di sekitarnya merosot kepada 35 peratus akibat kebimbangan ibu bapa terhadap tular tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan polis itu.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan boleh mengganggu ketenteraman awam kerana boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana menyebarkan berita palsu. - Bernama

Artikel Berkaitan: