Cadang Hamzah, Noor Azmi ketuai Bersatu Perak

Shaharuddin Rashid
Shaharuddin Rashid
A
A
A

TAIPING - Susulan kemelut dalaman Bersatu semakin meruncing, seorang ketua bahagian parti Bersatu Perak mencadangkan Pengerusi Bersatu Perak sedia ada, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu digantikan dengan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin atau Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Ketua Bersatu Bahagian Bukit Gantang, Datuk Shaharuddin Rashid berkata, kegagalan Ahmad Faizal mengurus tadbir Bersatu Perak dengan baik menyebabkan parti itu kini berada dalam keadaan menyedihkan dengan ahli akar umbi seumpama kehilangan tempat bergantung.

Menurutnya, tahap pengurusan Badan Pimpinan Bersatu Perak diketuai Ahmad Faizal atau Peja juga dianggap cacamarba apabila terpalit dengan budaya penipuan lebih teruk daripada pentadbiran parti Umno terdahulu di samping masalah peribadinya seperti isu pemilikan sijil akademik tinggi meragukan.

"Demi menyelamatkan Bersatu Perak daripada terus hancur, saya mencadangkan Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak supaya segera letak jawatan dan berundur daripada parti.

"Dengan pengambilan ramai bekas pemimpin Umno menyertai Bersatu kini, tidak semua bekas pemimpin parti itu mempunyai sifat korup dan ada yang benar-benar berkualiti seperti Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

"Jadi, tidak salah rasanya Bersatu Perak melantik Hamzah atau Noor Azmi untuk menggantikan Peja yang langsung tidak berfungsi membantu parti demi kelangsungan parti lebih baik pada masa hadapan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Shaharuddin turut menyatakan kekecewaan dengan sikap kepimpinan Bersatu negeri dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang gagal menyatakan laporan pembubaran 13 jawatankuasa bahagian di Perak dan menyifatkan tindakan itu berat sebelah.

Menurutnya, pihaknya sudah berulang kali menghubungi Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yusof bagi mendapatkan penjelasan tindakan drastik terbabit, namun terperanjat dimaklumkan keputusan dibuat MPT tanpa merujuk Jawatankuasa Tindakan Disiplin.

Artikel Berkaitan:

"Sudah tentu laporan dibuat berasaskan nasihat Peja tanpa merujuk Badan Pimpinan Bersatu Perak kerana mesyuarat dengan kami pun sudah lama tidak diadakan.

"Jadi persoalan saya adakah parti ini parti mafia yang berkelakuan lebih teruk daripada UMNO dahulu kerana kami yang didakwa melanggar peraturan parti langsung tidak dibenarkan membela diri?," katanya.

Shaharuddin turut berharap kepimpinan Bersatu Pusat lebih peka terhadap permasalahan di peringkat akar umbi dan tidak sekadar mendengar cakap segelintir pemimpin yang menjadikan parti sebagai alat memenuhi kepentingan diri.