Semua pihak perlu main peranan lebih agresif tingkat daftar vaksin

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bagi mencapai sasaran imuniti kelompok sebanyak 70 peratus, semua pihak termasuk wakil rakyat, majikan, masyarakat dan kementerian berkaitan perlu memainkan peranan lebih agresif bagi memastikan rakyat mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye menyarankan wakil rakyat memperhebatkan usaha pendaftaran vaksinasi di kawasan masing-masing dan menjadikan kempen pendaftaran sebagai satu agenda utama selain menggunakan pengaruh mereka untuk mendapatkan sambutan daripada penduduk.

Bagi memastikan lebih ramai mendaftar, Lam Thye turut mencadangkan pihak majikan mengambil inisiatif mempromosikan pendaftaran vaksin kepada pekerja mereka sama ada melalui emel atau pengumuman setiap hari di tempat kerja sebagai peringatan bersama.

"Kita juga mengharapkan masyarakat membantu mempromosikan vaksinasi dalam kalangan saudara-mara, sahabat handai dan rakan taulan. Inilah masanya untuk kita menjadi seorang yang patriotik dengan mempromosikan langkah bagi menyembuhkan tanah air kita," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Lam Thye berkata, kementerian yang relevan juga perlu menggunakan sumber sedia ada untuk memastikan maklumat kebaikan vaksin dapat disebarluaskan selain menggerakkan segala kepakaran dari segi media bagi membuat video balas mengenai keburukan vaksin yang disebarkan oleh golongan antivaksin.

"Kita harus percepatkan kadar vaksinasi negara agar keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap program imunisasi dapat dicapai dengan kadar segera," katanya.

Setakat Isnin, jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 di negara ini sebanyak 1,177,648 dos manakala seramai 9,048,237 atau 37.30 peratus daripada yang disasarkan telah mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin. - Bernama

Artikel Berkaitan: