Sila log masuk terlebih dahulu.

Kertas siasatan kes Neelofa, suami diserah ke TPR

Kertas siasatan majlis perkahwinan Neelofa yang melanggar SOP PKP dihantar semula kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada Isnin.
Kertas siasatan majlis perkahwinan Neelofa yang melanggar SOP PKP dihantar semula kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kertas siasatan majlis perkahwinan selebriti terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Haris Ismail atau lebih dikenali PU Riz yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dihantar semula kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kertas siasatan dihantar semula selepas ada beberapa penambahan arahan susulan daripada pihak TPR sebelum ini.

"Setakat ini, kita masih sedang menunggu arahan lanjut daripada TPR untuk tindakan susulan.

"Perkembangan lanjut kes itu akan dimaklumkan nanti," katanya pada Selasa.

5 April lalu, Mohamad Zainal mengesahkan telah merekodkan keterangan pasangan itu berhubung majlis perkahwinan mereka yang didakwa melanggar SOP PKP.

Mohamad Zainal dipetik berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Neelofa, 32, selamat diijabkabulkan dengan pelakon dan pendakwah bebas, PU Riz, 26, di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada 27 Mac lalu.

Isu pelanggaran SOP pada majlis itu timbul selepas tular di media sosial satu gambar menunjukkan jemputan yang hadir tidak mematuhi SOP PKP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Pengurus acara majlis pernikahan Neelofa dipanggil bantu siasatan