X

Kindly register in order to view this article
!

Bekas Naib Presiden AS meninggal dunia

Walter Mondale. - Foto AFP
A
A

WASHINGTON - Bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Walter Mondale daripada parti Demokrat yang berkhidmat selama sepenggal meninggal dunia pada Isnin ketika berusia 93 tahun.

Setakat ini, punca kematian beliau tidak didedahkan oleh keluarganya.

Mondale berkhidmat sebagai Naib Presiden AS dari tahun 1977 hingga 1981 ketika negara itu ditadbir oleh Presiden AS ke-39, Jimmy Carter.

Beliau juga pernah bertanding untuk merebut jawatan Presiden AS pada tahun 1984 tetapi kalah kepada Presiden AS ke-40, Ronald Reagan daripada parti Republikan.

Mondale juga mencipta sejarah AS apabila memilih seorang wanita, Geraldine Ferraro sebagai calon Naib Presidennya ketika itu.

"Hari ini (semalam), saya kehilangan rakan saya yang baik, Walter Mondale yang saya anggap sebagai Naib Presiden terbaik dalam sejarah negara kita," kata Carter dalam satu kenyataan seperti dilaporkan AFP.

Carter yang berusia 96 tahun turut mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Naib Presiden AS itu.

Sebelum memegang jawatan Naib Presiden AS, Mondale berkhidmat sebagai Ketua Peguam Negeri Minnesota iaitu negeri kelahirannnya dari tahun 1960 hingga 1964 dan kemudian menjadi senator dari tahun 1964 hingga 1976.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Duta ke Jepun antara tahun 1993 dan 1996 di bawah pentadbiran Presiden AS ke-42, Bill Clinton juga daripada parti Demokrat.

Bekas Presiden AS, Barack Obama daripada parti yang sama berkata, Mondale menjuarai isu-isu yang progresif dan berjaya mengubah peranan Naib Presiden AS.

Mondale berkahwin dengan isterinya, Joan Adams pada tahun 1955 dan pasangan itu mempunyai tiga orang anak. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!