MUIP sedia hidangan iftar bantu golongan rentan

Asmadi membantu mengagihkan hidangan iftar untuk golongan rentan di sekitar Bandaraya Kuantan pada Sabtu. - Foto Ihsan MUIP
Asmadi membantu mengagihkan hidangan iftar untuk golongan rentan di sekitar Bandaraya Kuantan pada Sabtu. - Foto Ihsan MUIP
A
A
A

KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) membantu golongan rentan di sekitar Bandaraya Kuantan dengan menyediakan juadah iftar sepanjang Ramadan kali ini.

Melalui peruntukan RM60,000 bagi tujuan itu, ia mampu dimanfaatkan oleh 250 hingga 300 individu daripada golongan tersebut.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, penyediaan juadah iftar untuk golongan rentan itu bermula pada Sabtu lalu.

Menurutnya, pihak MUIP bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Dapur Infaq Ummah Kuantan bagi penyediaan makanan tersebut.

"Pertubuhan ini cukup berpengalaman dalam penyediaan masakan untuk golongan asnaf sebelum ini.

"Menu yang disediakan berbeza dan dipelbagaikan setiap hari dengan setiap hidangan mengandungi nasi, lauk, sayur, buah tamar dan juga air," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Asmadi berkata, kebersihan dan makanan berzat diutamakan dalam penyediaan juadah iftar itu.

"Agihan makanan dilaksanakan seawal jam 6 petang bermula dari Jalan Wong Ah Jang dan seterusnya diagihkan di sekitar Jalan Pasar Besar Kuantan.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah, kita mendapat kerjasama daripada pihak Sukarelawan Pahang bagi membantu mengagihkan makanan kepada golongan terlibat," katanya.

Tambah beliau, program makanan percuma untuk gelandangan anjuran MUIP itu juga diharap dapat menarik minat pihak lain untuk bersama-sama menyumbang untuk program itu.

"Bagaimanapun sekiranya ada NGO yang berhasrat untuk turut serta, kita sarankan agar usaha itu diselaraskan dengan pihak Dapur Infaq Ummah Kuantan supaya agihan makanan tidak bertindih dan mengelak pembaziran," katanya.

Sementara itu, Asmadi berkata, pihak MUIP turut membantu 859 keluarga masyarakat orang asli di Pos Menson dan Pos Telanok, Cameron Highlands yang terjejas ekoran dikuarantin.

Menurutnya, proses agihan barang keperluan makanan kepada penduduk orang asli yang terjejas itu dilaksanakan pada Ahad lalu.

"Bantuan yang dihulurkan ini diharap dapat membantu mereka bertahan hidup sepanjang tempoh kuarantin.

"Difahamkan rata-rata mereka bekerja di kebun-kebun sayur dengan pendapatan gaji hari," katanya.

Menurutnya, bantuan barang keperluan makanan itu juga akan diagihkan di kawasan pedalaman sekiranya diperlukan.