Ayam pusing RM15 seekor untuk ibu hamil

Antara ibu hamil yang mengunjungi gerai Ayam Pusing Pening Musing yang beroperasi di Pasar Manir, Kuala Terengganu.
Antara ibu hamil yang mengunjungi gerai Ayam Pusing Pening Musing yang beroperasi di Pasar Manir, Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga di Bazar Ramadan Pasar Manir, di sini menawarkan diskaun harga RM15 bagi seekor ayam pusing kepada 15 orang ibu hamil setiap hari sepanjang Ramadan.

Pemilik gerai Ayam Pusing Pening Musing, Ahmad Amiruddin Muhammad Amin, 41, berkata, walaupun harga ayam di pasaran buat masa ini agak tinggi, dia tidak berasa rugi menawarkan juadah kepada golongan itu pada harga rendah.

"Saya bersyukur kerana bulan puasa ini ALLAH SWT kurniakan rezeki lebih sedikit jadi dapat sama-sama berkongsi rezeki.

"Saya percaya, dalam rezeki yang diberikan kepada kita, ada rezeki orang lain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Ahmad Amiruddin berkata, gerainya mula dibuka jam 3 petang dan waktu pembelian bagi ibu hamil bermula jam 4.30 petang.

"Setakat ini sambutan diterima amat memberangsangkan. Kesemua pelanggan yang terdiri daripada ibu hamil hanya perlu menulis nama pada buku rekod dan menunjukkan buku pink.

"Selain wanita, kita juga ada terima pelanggan lelaki yang datang ke gerai bersama buku pink isteri untuk mendapatkan ayam pusing dengan harga yang ditawarkan," katanya.

Ahmad Amiruddin telah berniaga ayam pusing di Pasar Manir hampir setiap hari sejak lapan tahun lalu dan kini telah masuk tahun kedua dia mencipta kelainan khusus buat pelanggan yang berkunjung ke gerainya.

Artikel Berkaitan:

"Ramadan tahun lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya ada buat promosi percuma separuh ayam buat 10 ibu hamil terawal yang datang membeli juadah ayam pusing.

"Tahun ini saya dapat gandakan sedikit dengan memberikan diskaun harga serta pertambahan jumlah penerima berbanding tahun lalu," katanya.

Menurut Ahmad Amiruddin, terdapat dua pilihan ayam pusing di gerainya iaitu ayam pening (menu original) dan lada hitam (black pepper).

"Pelanggan boleh pilih sama ada mahu beli seekor atau separuh atau campur ayam pening dan black pepper," katanya.