Bazar Ramadan Batu Burok dipantau

Alias Razak
Alias Razak
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Bazar Ramadan Batu Burok, di sini berada dalam pemantauan dan pemerhatian pihak berkuasa kerana kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang belum mencapai tahap memuaskan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak berkata, ia berikutan keadaan bazar yang penuh sesak berikutan kehadiran orang ramai tidak terkawal terutama pada waktu puncak.

"Setakat ini hanya bazar di Batu Burok saja ada sedikit masalah kerana pembeli masuk serentak ramai hingga keadaan jadi sesak. Walaupun bazar ini sudah gunakan kaedah nombor giliran tapi masih ada masalah berikutan bilangan peniaga ramai serta keluasan bazar agak kecil.

"Namun begitu Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sudah maklum masalah ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya dengan cara menghadkan bilangan pelanggan dalam satu-satu masa.

“Kita akan pastikan mereka patuh SOP supaya bazar ini tidak diarah tutup," katanya selepas hadir ke Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Fasa 2 peringkat Terengganu yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, pada Isnin.

Media sebelum ini melaporkan bazar Ramadan Tok Adis di Kuala Ibai, di sini dibenar beroperasi semula pada Isnin selepas ditutup selama tiga hari bermula 16 April setelah pihak penganjur memberi jaminan untuk mematuhi SOP ditetapkan.

Bazar Ramadan terbabit menjadi bazar pertama di Terengganu diarah ditutup sementara selama 14 hari bermula 8 malam Jumaat hingga 30 April berikutan tidak mematuhi SOP ditetapkan.

Notis penutupan dikeluarkan mengikut Seksyen 18 (1) (f), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Dr Alias meminta orang ramai khususnya peniaga tidak memandang negatif terhadap penguatkuasa Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang melaksanakan tugas.

Beliau berkata, kerajaan tidak berhasrat menyaman atau menutup bazar Ramadan secara semberono kerana faham keadaan rakyat yang mahu mencari rezeki khususnya di bulan puasa dan tindakan diambil merupakan jalan terakhir.

“Kita bimbang, kes Covid-19 banyak lagi dan kita tidak tahu siapa dalam masyarakat kita positif. Kalau tidak jaga SOP, jika ada seorang positif nanti satu kampung kena.

"Kalau sudah tiada pilihan, kita terpaksa mengambil tindakan. Tapi jangan pandang serong kepada JKNT dan PBT kerana kita mahu jaga komuniti lebih besar,” katanya.

Sebanyak 69 lokasi bazar Ramadan dengan 4,326 petak niaga beroperasi di seluruh Terengganu pada Ramadan kali ini.

Daripada jumlah itu, 22 lokasi adalah di Kuala Terengganu, Kemaman (19), Besut (10), Setiu (enam), Dungun (lima), Marang (lima) dan Hulu Terengganu (dua).