Wanita dipukul selepas tegur suami minum arak

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

SUBANG JAYA - Seorang wanita dipukul dipercayai akibat salah faham serta menegur suaminya supaya jangan minum arak dan mabuk di rumah di Sungai Rasau Hilir, Puchong, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, dalam kejadian pada jam 11 malam, wanita berusia 22 tahun itu tidak suka suaminya minum arak dan mabuk di rumah.

"Kemudian, telah berlaku salah faham apabila suspek menuduh mangsa ada skandal di tempat kerjanya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Abd Khalid berkata, mangsa telah ditumbuk di dahi dan ditendang di badan.

"Suspek juga mengugut akan mengambil senapang dan menembak mangsa serta keluarganya," katanya.

Beliau berkata, suspek berusia 40 tahun yang juga pemandu lori itu telah ditahan pada Ahad.

"Setakat ini, kita tidak menjumpai senjata tersebut, ugutan itu hanya secara lisan dan mangsa juga tidak tahu suaminya mempunyai senapang atau tidak," katanya.

Abd Khalid memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: