Sekolah kembali sunyi setelah diarah tutup

Suasana sunyi di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong setelah pengumuman tutup sekolah dibuat pada Isnin.
Suasana sunyi di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong setelah pengumuman tutup sekolah dibuat pada Isnin.
A
A
A

PUCHONG - Sekolah-sekolah di sekitar kawasan ini kembali sunyi setelah mendapat arahan penutupan premis tersebut pada Isnin berikutan terdapat kes jangkitan Covid-19.

Tinjauan Sinar Harian pada Selasa di beberapa buah sekolah di sini mendapati kawasan sekolah lengang daripada kenderaan ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah di pagi hari.

Bagaimanapun, tinjauan mendapati terdapat beberapa buah kenderaan dipercayai guru-guru sekolah terbabit memasuki kawasan sekolah.

Tinjauan juga mendapati seorang lelaki yang dipercayai salah seorang ayah kepada pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Utama (1) hadir ke sekolah untuk mengambil buku latihan anaknya di pintu pagar sekolah.

Pada Isnin, sebanyak 19 buah sekolah di daerah Petaling diarah tutup bermula Selasa berikutan terdapat kes jangkitan Covid-19 dikesan di sekolah-sekolah berkenaan.

Seorang lelaki dipercayai salah seorang ayah kepada pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Utama (1) hadir ke sekolah untuk mengambil buku latihan anaknya di pintu pagar.
Seorang lelaki dipercayai salah seorang ayah kepada pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Utama (1) hadir ke sekolah untuk mengambil buku latihan anaknya di pintu pagar.

Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa penutupan melibatkan 11 buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Agama (SMA) serta tujuh Sekolah Kebangsaan (SK) termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Menurut kenyataan tersebut, penutupan premis-premis tersebut dilaksanakan di bawah Seksyen 18(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Artikel Berkaitan:

“Penutupan premis adalah bertujuan untuk kerja-kerja pembasmian dan aktiviti saringan kepada kontak-kontak rapat.

“Pembukaan semula premis akan dimaklumkan semula dua hari sebelum ia dibuka,” kata kenyataan tersebut pada Isnin.