Penduduk bantah pelantikan ketua kampung

Penduduk kampung sungai machang membantah pelantikan Ketua kampung yang dilantik dan disifatkan tidak layak.
Penduduk kampung sungai machang membantah pelantikan Ketua kampung yang dilantik dan disifatkan tidak layak.
A
A
A

SEMENYIH - Penduduk Kampung Sungai Machang di sini membantah pelantikan ketua kampung itu yang disifatkan sebagai tidak layak.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Azhar Abd Rani berkata, penduduk mendakwa, ketua kampung yang dilantik itu juga tidak memenuhi kriteria selain dibuat atas pelantikan politik.

"Individu yang dilantik itu bukan daripada orang kampung ini, beliau juga jarang bersama dengan penduduk di sini," katanya.

Azhar berkata, penduduk kampung terkejut dan tidak berpuas hati dengan lantikan individu itu.

"Individu berkenaan dipercayai tinggal di luar sempadan kampung ini," katanya.

Beliau berkata, penduduk kampung mahu individu yang boleh mentadbir.

"Individu itu juga perlu mendekati masyarakat, berpengalaman dan senang dihubungi serta mengetahui selok-belok kampung," katanya.

Menurutnya, surat bantahan mengenai pelantikan itu telah diserahkan kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari ketika berkunjung ke Semenyih, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

"Kita tahu kampung ini turut menjadi tumpuan pada PRK DUN Semenyih, secara tidak langsung kita mahu membangkitkan isu ini.

"Kami berharap individu itu ditukarkan, jika mahu melantik ahli Bersatu, kampung ini juga mempunyai ahli parti itu," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Azhar Abd Rani. - FOTO: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Azhar Abd Rani. - FOTO: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Sementara itu, Sinar Harian turut menghubungi Ketua Kampung Sungai Machang, Abdul Rashid Mohammad Ali, beliau memaklumkan bantahan itu dianggap sebagai salah satu serangan politik ke atas dirinya dan seorang imam.

"Sebelum ini mereka telah membuat bantahan yang sama.

"Saya mendapati mereka terdiri lapan orang sahaja, jumlah itu dianggap tidak mewakili majoriti penduduk kampung itu," katanya.

Abdul Rashid berkata, kumpulan tersebut turut mendesak seorang imam meletakkan jawatan kerana bukan ahli parti mereka.

"Imam tersebut baik dan tidak mempunyai rekod jenayah, namun turut didesak oleh mereka untuk meletakkan jawatan," katanya.

Beliau berkata, sebenarnya kawasan Kampung Sungai Machang ini luas.

"Rumah saya masih berada dalam kawasan kampung tersebut," katanya.